Ing Yueh tebus kecewa raih emas acara palang bertingkat
Astro Arena
Jun 9, 2015 18:19 MYT
Jun 9, 2015 18:19 MYT
Gimnas negara, Tan Ing Yueh berjaya menebus kekecewaannya dengan meraih pingat emas acara palang bertingkat individu wanita pada Sukan SEA ke-28 hari ini.
Ing Yueh yang membuat penampilan sulung pada Sukan SEA Singapura, mempamerkan aksi bertenaga untuk mengutip 12.766 mata, menewaskan Ava Lorein Verdeflor dari Filipina yang mengumpul 12.336 mata.
Seorang lagi gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi meraih gangsa selepas mengutip 12.200 mata.
"Terima kasih kepada jurulatih dan rakan sepasukan. Saya tidak menyangka dapat meraih pingat emas dalam penampilan pertama di Sukan SEA.
"Farah sering memberi contoh terbaik kepada kami (atlet gimnas). Beliau juga mempamerkan aksi yang baik hari ini. Tidak kira siapa sumbang pingat emas... sasaran kami ialah mahu berikan pingat emas kepada negara," kata Ing Yueh.
Dalam pada itu, Ing Yueh meraih pingat perak dalam acara individu melombol hari ini, manakala Farah Ann meraih gangsa, selepas masing-masing mengumpul 13.466 dan 13.316 mata.
Gimnas Vietnam Phan Thi Ha Thanh meraih pingat emas selepas mengumpul 13.983 mata.
Ing Yueh dan Farah Ann akan mengambil bahagian dalam acara titian imbangan dan senaman lantai, esok.
Pada acara keseluruhan individu semalam, Ing Yueh gagal menampilkan aksi terbaik dan menduduki tempat ketujuh daripada 11 gimnas yang bertanding.