Industri bola sepak juga tidak wajar dipinggir ketika pandemik
Iskandar Abdul Samad
Mei 8, 2020 11:28 MYT
Mei 8, 2020 11:28 MYT
PADA 6 Mei lepas Chanselor Jerman Angela Merkel memberi kebenaran kepada liga bola sepak Jerman, Bundesliga, untuk dimulakan semula setelah digantung sejak bulan Mac. Sehubungan itu, perlawanan-perlawanan akan dimulakan pada pertengahan bulan Mei tetapi tanpa sebarang penonton.
Walau bagaimanapun menurut pemimpin Jerman itu terdapat peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi seperti saringan COVID-19 yang kerap untuk pemain-pemain. Selain dari itu pelantikan seorang Hygiene Officer (Pegawai Kebersihan) bagi setiap kelab di dalam usaha untuk mengekang penularan virus ini.
Keputusan di Jerman ini bertentangan dengan keputusan di Perancis. Pada 28 April lepas, Perdana Menteri Perancis Edouard Philippe telah mengumumkan tidak ada sebarang acara sukan yang dibenarkan sehingga bulan September di negara itu. Ini sekali gus bermakna liga bola sepak akan ditamatkan tanpa menghabiskan baki perlawanan.
Paris St Germain (PSG) dengan 68 mata sedang mendahului Ligue 1 yang berbaki 11 perlawanan telah diisytiharkan juara berdasarkan purata mata bagi setiap permainan (points per match).
Percanggahan di antara Jerman dan Perancis ini paling mendapat perhatian kerana ia melibatkan 5 liga utama Eropah atau "Big Five". Liga-liga utama lain adalah Liga Perdana Inggeris (EPL), Serie A Itali dan La Liga Sepanyol. Sebelum ini liga Belanda, Eredivisie dan liga Belgium, Jupiter Pro League telah menamatkan liga musim ini tanpa melengkapkan baki perlawanan.
Buat masa ini, EPL telah mengemukakan cadangan yang konkrit untuk memulakan semula liga. Di bawah Project Restart, Liga Perdana Inggeris (EPL) mencadangkan perlawanan-perlawanan dimulakan di stadium-stadium berkecuali.
Alasan cadangan ini adalah untuk mengelakkan penyokong-penyokong dari berkumpul. Walaupun permainan berlangsung tanpa penonton namun penyokong-penyokong tetap akan berkumpul di luar stadium jika kelab-kelab bermain di tempat sendiri.
Di antara stadium-stadium yang kemungkinan digunakan adalah Wembley (London), Etihad (Manchester), London (London), St Mary's (Southampton), King Power (Leicester), Villa Park (Birmingham) dan Old Trafford (Manchester).
Menurut cadangan, pemain-pemain boleh memulakan latihan pada 18 Mei dan perlawanan-perlawanan akan bermula pada 8 Jun. Ia akan mengambil masa 7 minggu untuk melengkapkan jadual perlawanan secara ekspres dan musim 2019/20 akan berakhir pada akhir bulan Julai.
Walau bagaimanapun terdapat syarat-syarat lain dan di antaranya adalah saringan COVID-19 untuk mereka yang terlibat dengan perlawanan-perlawanan tersebut. Ini bermakna pemain, kakitangan dan sesiapa sahaja yang terlibat dengan penganjuran perlawanan-perlawanan itu.
Adalah dianggarkan lebih 40,000 orang akan melalui saringan ini dengan kos lebih 4 juta pound.
Walaupun memulakan semula liga ini melibatkan kos dan akan menimbulkan masalah logistik namun kelab-kelab terpaksa menanggung kerugian kewangan yang lebih besar jika liga terus digantung atau dibatalkan sama sekali.
Keputusan di Jerman untuk melengkapkan liga juga dipengaruhi oleh faktor-faktor kewangan. Menurut laporan, 13 dari 36 kelab di 2 division teratas Jerman adalah di ambang kebankrapan. Jika liga musim ini tidak diselesaikan, kelab-kelab akan turut kehilangan 300 juta Euro atau RM1.39 bilion dari kontrak penyiaran televisyen.
Faktor kewangan juga mempengaruhi keputusan untuk meneruskan saingan bola sepak di Malaysia.
Penggantungan liga mengakibatkan pasukan-pasukan hilang pendapatan dari jualan tiket perlawanan. Terdapat pasukan yang telah mengambil tindakan yang drastik. Sebagai contoh FA Selangor telah mengumumkan pemotongan gaji pemain yang dapat mengelakkan kerugian sebanyak RM2.9 juta.
Ekoran pandemik COVID-19 yang mencengkam dunia, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah menyarankan pemain-pemain dan majikan mereka, sama ada kelab atau persatuan bola sepak, mengadakan perbincangan tentang gaji termasuk penstrukturan penggajian sementara. Satu persetujuan perlu dicapai untuk mengelakkan majikan dari terpaksa digulung dan pemain-pemain kehilangan pekerjaan.
Kelab-kelab di Eropah telah melaksanakan pemotongan gaji contohnya pemain-pemain kelab La Liga, Athletico Madrid, telah bersetuju untuk menerima potongan gaji sehingga 70 peratus. Walau bagaimanapun keadaan adalah berbeza di Malaysia kerana gaji-gaji pemain tidak lumayan seperti di Eropah.
Justeru itu Persatuan Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM ) pada 12 April lepas telah menetapkan 2 syarat untuk melindungi hak pemain jika pemotongan gaji hendak dilaksanakan.
PFAM mahu segala gaji tertunggak sebelum pandemik COVID-19 bermula diselasaikan terlebih dahulu. Mereka juga mahu pemotongan gaji dirundingan secara individu dan tidak dibuat secara pukul rata kerana nilai gaji dan keperluan setiap pemain adalah berbeza.
Memandangkan masalah yang dihadapi akibat penggantungan perlawanan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah membuat keputusan untuk memulakan CIMB Liga Super pada 1 September dan berakhir pada 27 September. Sementara TM Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober dan berakhir pada 7 November.
Memandangkan tempoh saingan disingkatkan, Liga Super hanya akan dilaksanakan untuk 1 pusingan iaitu 11 perlawanan dan bukan 22 perlawanan seperti jadual awal. Sementara Piala Malaysia pula akan hanya akan diadakan pusingan kalah mati tanpa peringkat kumpulan seperti jadual awal.
Walau bagaimanapun jadual ini adalah tertakluk kepada kelulusan dari kerajaan Malaysia untuk memulakan perlawanan-perlawanan pada bulan September. Saingan liga dan Piala Malaysia akan dibatalkan jika kebenaran ini gagal diperolehi.
Seperti bola sepak di negara-negara lain, bola sepak di Malaysia turut menghadapi satu dilema. Walapun keputusan untuk membenarkan perlawanan adalah di tangan kerajaan namun pihak yang bertanggungjawab perlu membuat pertimbangan di antara keselamatan dan survival. Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John berkata 1,500 pemain akan menjadi penggangur jika saingan bola sepak di Malaysia dibatalkan terus. Ternyata sekali bola sepak bukan sekadar sukan tetapi satu industri seperti industri-industri lain. Jika kerajaan boleh membantu industri-industri lain ketika pandemik COVID-19, industri bolsepak tidak sepatutnya dipinggirkan
Harapan kita adalah kerajaan menetapkan SOP-SOP untuk menjamin keselamatan semua yang terlibat. Mereka perlu melihat kepada Bundesliga dan EPL yang akan memulakan saingan tidak lama lagi. Walaupun ia melibatkan kos tambahan dan pendapatan pasukan-pasukan tidak seperti dahulu jika bermain di stadium tanpa penonton namun keselamatan para pemain dan mereka yang terlibat tidak wajar dikorbankan.
* Penulis ialah bekas Exco Perumahan Negeri Selangor (2008 – 2018), kini Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat dan Perumahan (REACH).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#Angela Merkel
#Asia
#Belanda
#Belgium
#bola sepak
#Bundesliga
#COVID-19
#EPL
#FIFA
#Itali
#Jerman
#keselamatan
#Liga Perdana Inggeris
#London
#pandemik
#Paris
#perlawanan
#PFAM
#Piala Malaysia
#saringan
#sepanyol
#sukan
#syarat