Indonesia umum tarik diri Kejuaraan B-23 AFF
Hafizi Rosli
Februari 11, 2022 09:05 MYT
Februari 11, 2022 09:05 MYT
SKUAD bawah 23 (B-23) Indonesia menarik diri daripada menyertai Kejuaraan AFF B-23 di Phnom Penh, Kemboja, 14 hingga 26 Februari depan.
Dalam pengumuman Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) pada Jumaat, penarikan diri itu susulan beberapa aspek termasuk penularan jangkitan COVID-19.
Menurut catatan terbaharu di akaun Twitter rasmi PSSI, tujuh pemain pasukan serta seorang petugas didapati positif COVID-19.
Tujuh pemain berkenaan ialah Ronaldo Joybera R Junior, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo Ramadhani, dan Cahya Supriyadi.
Manakala empat pemain lain sedang menjalani tempoh kuarantin kerana merupakan kontak rapat kepada pemain yang dijangkiti.
Turut dilaporkan adalah tiga pemain pasukan mengalami kecederaan iaitu Gunansar Mandowen, Ramai Rumakiek dan Muhammad Iqbal.
Kesemua mereka dilaporkan cedera ketika sesi latihan dalam usaha memperkuat kelab masing-masing di Liga 1, 2021-2022.
Situasi itu menyebabkan pengendali pasukan Shin Tae Yong mengutuskan surat rasmi kepada federasi dan mengusulkan penarikan diri.
Setelah meneliti situasi berkenaan, PSSI mengambil keputusan untuk menarik penyertaan Indonesia dalam kejohanan tersebut.
Sebelum ini, Indonesia bakal menjadi pesaing terkuat bagi Malaysia dalam saingan Kumpulan B kejuaraan itu nanti.
Selain Indonesia, skuad bawah 23 (B-23) negara kendalian Brad Maloney turut perlu menentang Myanmar dan Laos untuk merebut tiket ke separuh akhir.
Berdasarkan jadual perlawanan, Malaysia akan membuka tirai kempen dengan berdepan Myanmar di Stadium Prince pada Selasa ini, diikuti Laos tiga hari kemudian di venue sama.
Indonesia akan menjadi lawan terakhir di peringkat kumpulan pada 21 Februari ini di Stadium Nasional Morodok Techo sebelum aksi separuh akhir dan final masing-masing berlangsung pada 24 dan 26 Februari.