Indonesia ranap misi skuad B-19 kebangsaan pertahan juara

Bernama
Julai 27, 2024 06:00 MYT
Perjuangan anak buah Garrido pula belum selesai apabila akan membuat perhitungan menentang Australia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. - Foto Facebook/FAM
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan terkandas di separuh akhir selepas tewas tipis 0-1 kepada Indonesia pada perlawanan separuh akhir Kejohanan B-19 ASEAN 2024 di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya malam tadi.
Skuad negara bimbingan Juan Torres Garrido yang melangkah ke separuh akhir selepas muncul juara Kumpulan C menghadapi tentangan sengit pasukan tuan rumah, menyaksikan kedua-duanya buntu mencipta jaringan pada separuh masa pertama.
Usaha Indonesia yang berkelebihan beraksi di gelanggang sendiri akhirnya membuahkan hasil apabila meledak gol kemenangan menerusi Muhammad Alfharezzi Buffon pada minit ke-78 untuk mengisi slot final, berdepan juara terbanyak Thailand, di venue sama, pada Isnin ini.
Terdahulu, Thailand menumpaskan Australia 1-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Perjuangan anak buah Garrido pula belum selesai apabila akan membuat perhitungan menentang Australia dalam perlawanan penentuan tempat ketiga yang juga dijadual berlangsung pada Isnin.
Sebagai rekod, Malaysia merupakan juara dua kali masing-masing pada edisi 2018 dan 2022.
-- BERNAMA
#B-19 ASEAN 2024 #harimau muda #Separuh Akhir #pertahan juara
;