Indonesia pencabar utama kontinjen Malaysia di AUG 2024 - CDM

Bernama
Jun 24, 2024 23:06 MYT
Suhairi turut mengingatkan atlet dan pegawai supaya menjaga pemakanan dan kekal berdisiplin sepanjang tempoh latihan sebelum acara masing-masing berlangsung. - Gambar Bernama
SURABAYA: Ketua kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 Suhairi Ismail mengakui tuan rumah, Indonesia adalah pencabar terkuat Malaysia dalam usaha merebut kedudukan teratas temasya dwitahunan yang akan membuka tirai esok hingga 6 Julai di Surabaya dan Malang.
Beliau berkata tuan rumah mempunyai kelebihan dari segi kutipan pingat berdasarkan acara sukan dipertandingkan pada edisi kali ini namun tetap optimis kontinjen negara mampu mencapai 35 pingat emas dan menghuni tangga ketiga keseluruhan seperti disasarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini.
"Cabaran negara, sama seperti sukan SEA yang menentukan jenis sukan akan dipertandingkan adalah tuan rumah. Jadi sudah tentu tuan rumah ada sedikit kelebihan untuk menjuarai keseluruhan berdasarkan penganjuran acara sukan.
"Dan kita analisis juga kekuatan atlet sukan dari negara lain, contohnya renang sudah tentu Singapura dan Filipina, dan sasaran kita adalah untuk berada di tempat ketiga keseluruhan, kita yakin boleh capai sasaran berdasarkan motivasi atlet," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Selasa lepas, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan sasaran 35 pingat emas terhadap kontinjen Malaysia pada temasya dwitahun itu.
Sementara itu, Suhairi turut mengingatkan atlet dan pegawai supaya menjaga pemakanan dan kekal berdisiplin sepanjang tempoh latihan sebelum acara masing-masing berlangsung.
Malaysia menghantar 382 atlet dan pegawai bagi menggalas cabaran negara dalam 18 daripada 20 acara dipertandingkan dengan pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman diumum pembawa Jalur Gemilang di majlis pembukaan AUG 2024.
Sebagai rekod, kontinjen negara meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 52 gangsa dalam temasya AUG di Ubon Ratchathani, Thailand pada 2022, melepasi sasaran 35 pingat emas ditetapkan sebelumnya.
-- BERNAMA
#ASEAN #AUG 2024 #kutipan pingat #cabaran negara
;