Indonesia mahu manfaat sepenuhnya tenaga pemain muda pada pertemuan dengan Australia

Bernama
Januari 27, 2024 05:39 MYT
Shin Tae-Yong sebelum perlawanan Piala Asia kumpulan D antara Jepun dan Indonesia di Stadium Al Thumama, Doha, Qatar, 24 Jan 2024. - REUTERS
DOHA: Skuad barisan muda Indonesia ke kempen Piala Asia 2023 bersedia mencipta satu lagi sejarah apabila berdepan dengan juara 2015, Australia pada pusingan 16 di Stadium Jassim bin Hamad di sini, seok.
Ketua jurulatihnya, Shin Tae Yong, berkata pasukannya yang mencipta sejarah dengan julung kali meloloskan diri ke pusingan kalah mati akan menghadapi perlawanan tersebut dengan sikap positif walaupun menyedari kekuatan pasukan Socceroos kendalian Graham Arnold.
Katanya, perlawanan hari ini tidak mudah memandangkan Australia merupakan salah satu pasukan terkuat dalam kempen Piala Asia tetapi tidak menghalang mereka menampilkan kekuatan tenaga muda dengan persediaan mantap.
"Saya akan sangat gembira jika dapat mengulangi satu lagi keajaiban tetapi ia bukan mudah. Kami akan bermain dengan mentaliti yang kuat dan berjuang sehingga pengadil meniup wisel penamat," katanya pada sidang media praperlawanan di sini semalam.
Pada masa sama, pemain pertahanan kiri, Pratama Arhan Alif Rifai berkata beliau dan rakan sepasukan gembira kerana berjaya membawa skuad Garuda ke pusingan 16 terbaik, namun fokus tetap diberikan untuk menyaingi kehebatan Australia.
"Tentu perasaan saya sangat senang apabila sampai ke peringkat ini dan seterus bersedia melakukan yang terbaik. Kalau diberi kepercayaan oleh jurulatih esok, saya akan memberikan segala-galanya," kata pemain berusia 22 tahun yang beraksi untuk kelab Korea Selatan, Suwon FC.
Sementara itu, Arnold berkata pasukannya tidak memandang remeh kemampuan Indonesia walaupun jurang ranking dunia yang besar dengan Australia berada di kedudukan ke-25 manakala Indonesia di tangga ke-146.
Kami akan berjuang bermati-matian...apabila anda bermain untuk negara, anda tidak kira siapa lawan. Ini soal membanggakan negara anda," kata jurulatih berusia 60 tahun itu.
Indonesia layak ke pusingan 16 terakhir sebagai salah satu daripada empat pasukan di tangga ketiga terbaik dalam Kumpulan D dengan tiga mata hasil kemenangan 1-0 ke atas Vietnam selepas tewas kepada Jepun dan Iraq.
Australia muncul juara Kumpulan B dengan memanangi dua perlawanan menentang India dan Syria dan seri dengan Uzbekistan.
Hari ini, dalam satu lagi perlawanan pusingan kalah mati itu mempertemukan Tajikistan, yang melakukan penampilan sulung di pentas Piala Asia, dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Ahmad bin Ali di bandaraya Al Rayyan.
-- BERNAMA
#Indonesia #Piala Asia 2023 #Australia #Shin Tae Yong
;