Indonesia janji habuan RM1.5 juta buat peraih pingat emas Olimpik Rio
Agensi
Jun 23, 2016 17:51 MYT
Jun 23, 2016 17:51 MYT
Pemerintah Indonesia pada Khamis menjanjikan habuan wang tunai dalam jumlah yang besar dan pencen seumur hidup kepada atlet Olimpik mereka yang berjaya menaiki podium, sebagai usaha meningkatkan jumlah pingat di Rio.
Kementerian Pemuda dan Olahraga (Belia dan Sukan) negara itu mengumumkan, atlet yang berjaya meraih pingat emas di Olimpik Rio pada Ogos ini akan layak mendapat habuan berjumlah 5 bilion Rupiah (RM1.5 juta) dan wang pencen sepanjang hayat kira-kira RM5,900 sebulan.
Atlet yang meraih pingat perak dan gangsa juga akan mendapat ganjaran, iaitu kira-kira RM599,000 dan RM299,000 masing-masing, berserta wang pencen yang lebih kecil.
Hadiah wang tunai untuk pingat emas adalah lima kali ganda jumlah yang dijanjikan kepada atlet dalam kejohanan Olimpik sebelum ini, sementara pemberian wang pencen adalah tambahan baharu.
Gaji minimum di Jakarta adalah kira-kira 3 juta Rupiah (RM930) sebulan, namun di wilayah yang lebih terpencil, ramai yang masih hidup dengan pendapatan RM8 sehari.
Sewaktu kejohanan Olimpik London pada tahun 2012, Indonesia yang berpopulasi 255 juta orang tidak berjaya membawa pulang pingat emas – suatu yang belum dapat direalisasikan sejak dua dekad lalu.
Kementerian negara itu berharap habuan wang tunai mampu membuahkan keputusan lebih baik dalam kejohanan akan datang.
“Ini sebagai motivasi kepada atlet agar menanam impian besar. Jangan lakukannya separuh hati, mereka harus sasarkan kemenangan di Olimpik,” ujar jurucakap kementerian Gatot Dewa Broto kepada AFP.
Atlet yang pernah menyumbangkan pingat dalam kejohanan yang lepas juga tidak ketinggalan. Pihak pemerintah berjanji untuk membayar semula pencen peraih pingat kejohanan Olimpik dan Paralimpik sebelum ini.
Indonesia mula menyertai Olimpik pada 1952, namun hanya memperoleh pingat pertama ketika kejohanan di Korea Selatan pada 1988.
Sejak itu, Indonesia telah memenangi 27 pingat dalam sukan badminton, angkat berat dan memanah.
Presiden Joko Widodo pada minggu ini menggalakkan atlet negara itu untuk menyasarkan podium, sambil berkata beliau ingin mendengar lagu kebangsaan Indonesia dimainkan di Rio De Jeneiro.