Indonesia adakan perlawanan semula antara kelab terlibat rempuhan maut tanpa penonton

Agensi
April 11, 2023 06:50 MYT
Perlawanan bola sepak antara Persebaya dan Arema FC telah berlangsung tanpa penonton, pada Selasa di stadium yang berdekatan dengan Ibu Pejabat Polis Indonesia di Jakarta. - Gambar REUTERS
JAKARTA: Perlawanan bola sepak antara Persebaya dan Arema FC telah berlangsung tanpa penonton, pada Selasa.
Ini susulan kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu pada Oktober 2022, ia berakhir menjadi salah satu insiden rempuhan stadium terburuk di dunia tahun lalu dengan 135 orang terbunuh.
Menurut Pasukan Persebaya di akaun Instagramnya, perlawanan itu dilaksanakan tanpa penonton mengikut permit yang dikeluarkan polis.
Persebaya, yang berada di tempat ketujuh dalam kedudukan Liga 1, menang 1-0 selepas Muhammad Iqbal menjaringkan gol pada minit ke-79.
Manakala Arema yang menduduki tangga ke-11 terlepas sepakan penalti pada minit ke-97.
Seorang jurugambar Reuters di dalam stadium berkata, hanya beberapa pegawai media, kelab dan pengawal keselamatan duduk di bangku simpanan menonton perlawanan itu.
Ratusan anggota polis pula diarah untuk berkawal di luar stadium dan sebahagian daripada mereka membawa gas pemedih mata.
Stadium itu terletak berhampiran ibu pejabat pasukan polis negara Indonesia dan dikelilingi oleh akademi polis.
Bercakap selepas perlawanan, pengurus Arema, Joko Susilo berkata, beberapa pemainnya masih trauma dengan rempuhan tahun lalu dan tidak dapat bermain dengan selesa.
uluhan penyokong Persebaya berkumpul di luar stadium semasa perlawanan itu dengan menunggang motosikal dan mengiringi bas yang membawa pemain Persebaya keluar dari stadium.
Bola sepak Indonesia telah bergelut dengan pelbagai isu dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Bulan lepas, negara itu telah dilucutkan haknya untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun selepas kemarahan dalam kalangan ahli politik di negara yang majoritinya beragama Islam mengenai penyertaan Israel.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kemudian membekukan dana pembangunan yang diperuntukkan untuk persatuan bola sepak negara sebagai sekatan.
Perlawanan Persebaya-Arema sepatutnya berlangsung pada awal Mac tetapi ditangguhkan oleh polis kerana kebimbangan berterusan terhadap persaingan peminat dan isu kawalan orang ramai.
Dalam insiden Oktober tahun lalu, berlaku kejadian rempuhan selepas perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan di Malang, Indoesia yang menyebabkan 125 orang terbunuh, selain, mencederakan 320 yang lain.
Dalam masa sama, polis Indonesia dikecam teruk orang awam kerana mendakwa rempuhan itu berlaku berikutan tindakan anggota keselamatan berkenaan melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai.
Ia sekali gus mencetuskan panik di kalangan penonton dan rempuhan di salah satu pintu keluar stadium.
#rusuhan Stadium Kanjuruhan #Indonesia #perlawanan tanpa penonton #Persebaya
;