Incheon: Azlan tidak hilang fokus raih pingat emas untuk negara

Bernama
Oktober 22, 2014 20:42 MYT
Mohammad Azlan memintas Gong Qiang dari China untuk memastikan pingat emas kesepuluh untuk negara dalam acara 400m lelaki T36 pada temasya Sukan Para Asia 2014 di Asiad Main Stadium pada Rabu. - fotoBERNAMA
Gangguan selama lima minit berikutan bantahan teknikal daripada skuad olahraga Bahrain sebelum perlumbaan bermula dan kesakitan otot belakangnya tidak menggugat tumpuan Mohammad Azlan Mat Lazin meraih emas acara 400m Lelaki T36 pada Sukan Para Asia, di sini hari ini.
Mohammad Azlan wajar digelar sebagai 'Hero Malaysia' apabila meraih emas ketiganya hari ini, di Stadium Utama Asiad Incheon.
Beliau merekodkan catatan masa 59.84 saat untuk menjadi juara acara itu manakala seorang lagi atlet negara, Mohd Raduan Emeari meraih pingat gangsa dengan masa 1:02.24s.
"Masa lari tadi, kecederaan otot di belakang badan saya makin teruk dan kaki sedikit kejang tetapi jurulatih pesan supaya sentiasa bergerak sebelum acara bermula.
"Alhamdulillah saya berjaya atasi kesakitan itu dan menang acara ini. Kemenangan ini sangat bermakna buat saya dan keluarga," katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan.
Pingat perak acara tersebut dimenangi oleh atlet China, Gong Qiang selepas merekodkan catatan masa 1:00.50s.
Emas pertama milik Mohd Azlan adalah menerusi acara 100m lelaki T36, yang diraihnya pada Isnin dan emas kedua adalah melalui 200m Lelaki T36 pada Selasa.
Kontinjen negara dengan 135 atlet bertanding dalam 15 daripada 25 acara yang dipertandingkan, menetapkan sasaran memperbaiki pencapaian sembilan emas yang diraih pada temasya 2010 di Guangzhou, China.
#Incheon #Mohammad Azlan Mat Lazin #Mohd Raduan Emeari #olahraga #pingat emas #Sukan Para Asia
;