"Impian untuk menjadi juara dunia masih belum berakhir"

Astro Awani
Julai 6, 2014 17:56 MYT
Neymar akan menjalani tempoh pemulihan di rumahnya di Guaruja.
Neymar mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada setiap peminat atas sokongan mereka terhadap dirinya dan pasukan bola sepak Brazil.
"Impian saya masih belum berakhir. Ia hanya diganggu oleh satu permainan namun ia tetap ada dan tak akan pudar," kata Neymar menerusi video yang diterbitkan Konfederasi Bola Sepak Brazil.
Neymar terpaksa melupakan baki kempen Piala dunia 2014 kerana mengalami keretakan tulang belakang akibat terjahan pemain Colombia, Juan Zuniga ketika aksi suku akhir yang menyaksikan Brazil Menang 2-1.
"Saya pasti rakan-rakan sepasukan akan melakukan segalanya untuk menjadikan impian saya menjadi juara satu kenyataan.
"Impian saya juga adalah untuk beraksi di pentas akhir, namun apakan daya, kali ini nasib tidak menyebelahi saya," kata pemain berusia 22 tahun itu dalam nada sebak.
"Namun atas kuasa Tuhan, mereka akan memenanginya, mereka akan menjadi juara dunia, dan saya akan berada di sisi mereka, bersama mereka. Dan kami warga Brazil akan meraikannya bersama-sama."
Neymar merakamkan penghargaan dan harapan kepada peminat dan rakan sepasukan dengan nada sebak. - Sumber YouTube CBF
Neymar setakat ini telah menjaringkan empat gol dan menjadi watak penting dalam membantu pasukan Selecao mara sehingga ke peringkat separuh akhir.
Globo TV, rangkaian paling popular di Brazil menyiarkan rakaman mesej Neymar berdurasi 1:19 dalam satu program siaran langsung pada Sabtu. Penonton program di studio berdiri memberi penghormatan sejurus selepas video rakaman mesej itu dimainkan, menyaksikan ramai yang mengalirkan air mata.
Zuniga menghantar mesej tanda sokongan kepada Neymar dan menafikan kritikan yang mengatakan dia bertindak dengan sengaja untuk menerjah Neymar dengan kasar sehingga menyebabkan pemain muda itu terpaksa disingkirkan ketika Brazil amat memerlukannya.
Juan Zuniga menafikan insiden terjahan keras terhadap Neymar adalah disengajakan. - Gambar AP
Jawatankuasa Disiplin FIFA kini sedang meneliti rakaman insiden bagi menentukan tindakan yang bakal dikenakan terhadap pemain Napoli itu.
Zuniga mempertahankan tindakannya sejurus selepas tamat permainan, menegaskan dia tidak berniat jahat terhadap Neymar.
"Saya rasa terbeban dengan situasi ini," katanya menerusi satu mesej di Instagram. "Ia berlaku dalam satu permainan yang normal dan tiada sebarang niat buruk, kejam atau jahat dari saya. Saya mahu hantarkan penghormatan istimewa saya kepada Neymar.
"Saya mengagumi anda, saya menghormati anda dan menganggap anda antara pemain terbaik di dunia.
"Saya berharap anda kembali pulih segera untuk dapat terus menunjukkan bahawa bola sepak satu sukan yang penuh kualiti dan kebaikan, sepertimana yang saya amalkan sejak berusia 12 tahun dan sebagai pemain profesional."
Zuniga tidak ketinggalan merakamkan ucapan terima kasih kepada penyokong Brazil.
"Kepada semua penyokong Brazil yang telah kehilangan seorang pemain dalam Piala Dunia, saya berterima kasih kepada mereka atas segala sokongan yang diberikan kepada pasukan kami dalam setiap perlawanan di sini."
Ketua Media FIFA, Delia Fischer berkata, "Jawatankuasa disiplin sedang meneliti perkara ini. Semangat 'fair play' adalah penting dan kami mahu mengelakkan sebarang kesulitan di atas padang."
Presiden CBF, Jose Maria Marin memberi kata-kata semangat sebelum Neymar berlepas ke Guaruja untuk menjalani tempoh pemulihan. - Gambar AP
Neymar diterbangkan dari kem latihan Brazil di Teresopolis dengan helikopter perubatan untuk memulakan tempoh pemulihan di rumahnya di Guaruja.
Brazil akan bertemu Jerman dalam aksi separuh akhir pada awal pagi Khamis.
#2014 #Brazil #cbf #cedera #Colombia #FIFA #Neymar #pemulihan #Piala Dunia #sebak #tulang belakang #zuniga
;