Impian tercapai, Khabib kini sah bergelar pemain bola sepak
Haider Yutim
Ogos 14, 2021 16:12 MYT
Ogos 14, 2021 16:12 MYT
BEKAS jaguh UFC Khabib Nurmagomedov yang telah bersara dari sukan seni bela diri campuran (MMA) sejak Oktober tahun lalu, kini sah bergelar pemain bola sepak.
Ia selepas atlet kelahiran Dagestan itu menandatangani kontrak bersama pasukan divisyen ketiga Rusia, FC Legion Dynamo.
Sebuah foto memaparkan Khabib sedang berjabat tangan dengan Presiden FC Legion Dynamo, Shamil Lakhiyalov turut dimuat naik di laman Instagram kelab tersebut.
“Pasukan kita sedang menantikan pertempuran hebat di mana kita memerlukan pahlawan hebat,” tulis kapsyen tersebut.
Selain FC Legion Dynamo, Khabib sebelum ini turut pernah menerima tawaran dari FC Kamza, yang juga merupakan kelab bola sepak divisyen tiga.
Khabib turut pernah memuat naik video di laman Instagramnya sambil berseloroh mengatakan dia kini seorang ‘free agent’ (ejen bebas) dan bersedia untuk menerima sebarang tawaran dari mana-mana kelab.
Bintang MMA dan bekas juara lightweight berusia 32 tahun itu juga pernah mengakui dia lebih sukakan bola sepak berbanding sukan MMA.
Dia juga merupakan antara peminat setia kelab La Liga, Real Madrid selain turut meminati beberapa kelab lain seperti Galatasaray dan Anzhi Makhachkala.
Selain itu, Khabib mempunyai kenalan baik dalam kalangan bintang bola sepak seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Zlatan Ibrahimovic.
Khabib mengumumkan persaraan dari sukan MMA sejurus selepas kemenangannya ke atas Justin Gaethje dari Amerika Syarikat dalam pertarungan kejuaraan lightweight pada Oktober tahun lalu.
Dia bersara dengan rekod cemerlang 29 kemenangan tanpa kalah (29 - 0).
Meskipun sudah bersara, Khabib tetap membantu melatih serta menjadi ‘corner’ untuk petarung-petarung muda lain seperti sepupunya Umar dan Usman Nurmagomedov, dan Islam Makhachev.
#Khabib Nurmagomedov
#bola sepak
#FC Legion Dynamo
#MMA
#UFC
#Shamil Lakhiyalov
#Islam Makhachev
#Real Madrid
#Cristiano Ronaldo