Impian pemuda OKU miliki jersi terbaharu Harimau Malaya tercapai
Madiha Abdullah
Disember 20, 2018 21:40 MYT
Disember 20, 2018 21:40 MYT
IMPIAN seorang penyokong setia Harimau Malaya, Mohamad Firdaus Mohd Nadzir, untuk memiliki dan menyarung jersi edisi terbaharu skuad kebangsaan, akhirnya tercapai.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisatif untuk membawa dan menyerahkan jersi itu kepada Firdaus, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Lebih istimewa, dua wakil Harimau Malaya, Nazirul Naim Che Hashim dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, turut hadir dan beramah mesra dengan Firdaus di kediamannya di Chemor, Perak.
Terdahulu, kakak Firdaus, Norhawati, memuat naik entri di Facebook berkenaan adiknya yang sangat meminati pasukan negara dan hanya mahu menyarung jersi pasukan setiap masa, termasuk sewaktu hari raya.
"Saya nak beli tapi kalau ada yang nak sedekah, lagi besar pahala kalian. Adik saya OKU, dia hanya nak pakai baju Harimau Malaya.
"Baju lain dia tak nak pakai, ada baju sampai dah koyak tapi dia tetap nak pakai baju itu," tulis Norhawati pada entri tersebut.
Norhawati mengakui tidak menyangka entri itu mendapat perhatian ramai.
"Firdaus mula menunjukkan minat terhadap Harimau Malaya dan mengumpul jersi kebangsaan sejak empat tahun lalu. Sehingga kini dia sudah memiliki lebih 30 helai jersi.
"Dia tidak berupaya untuk bercakap dan enggan keluar rumah namun bagi pihaknya, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada FAM dan Harimau Malaya," kata Norhawati seperti yang dipetik dalam satu entri di Facebook FAM.