Impian Goh-Shevon ke final All England musnah
Bernama
Mac 9, 2019 21:54 MYT
Mac 9, 2019 21:54 MYT
IMPIAN beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mara ke pentas final kejohanan badminton All England 2019 tidak kesampaian apabila tewas pada separuh akhir di Arena Birmingham, pada Sabtu.
Selepas mengejutkan pilihan kedua, Wang Yilyu-Huang Dongpin dari China pada suku akhir pada Jumaat, pasangan negara itu tidak dapat mengekalkan momentum apabila tunduk kepada juara bertahan dan pasangan nombor tiga dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Pasangan Jepun itu hanya memerlukan masa 37 minit untuk mencipta kemenangan mudah 21-16, 21-13 ke atas Soon Huat-Shevon Lai untuk melangkah ke final.
Tewas di set pertama, pasangan negara yang kini menduduki ranking ke-14 dunia cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sekali gus mencuri peluang mara ke final All England.
Bagaimanapun, kesilapan demi kesilapan setelah mendahului selesa 9-5 pada set kedua, menyebabkan pasangan Jepun itu mudah mengutip mata untuk mengesahkan tempat di final.
Harapan negara kini tertumpu kepada gandingan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berdepan gandingan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam perlawanan separuh akhir yang dijangka berlangsung awal pagi (Ahad).
Pasangan negara yang digelar 'pembunuh gergasi' melakar kejutan apabila menyingkirkan pasangan China, Liu Cheng-Zhang Nan 21-19, 17-21, 21-12 dalam aksi suku akhir pada Jumaat.
-- BERNAMA
#all england
#badminton
#beregu campuran negara
#goh soon huat
#pasangan jepun
#pasangan malaysia
#pemain negara
#shevon lai