Impian F1 saya belum terkubur - Jazeman Jaafar
Februari 5, 2016 08:13 MYT
Dia akan pulang ke pangkalannya di London untuk menjalani program persiapan awal sebelum berpeluang menguji jentera HTP Motorsport di Perancis pada Mac.
”Impian F1 saya belum tamat. Saya hanya 23 tahun, saya menyertai program GT untuk menjadi pelumba yang lebih lengkap.
“Ekonomi dunia agak teruk tetapi selepas musim saya tamat, saya dapat peluang di Super Formula di Jepun dan dari situ saya dapat peluang untuk meneruskan jalinan bersama Mercedes sekali lagi,” kata Jazeman
Justeru, Jazeman pada Isnin lalu menandatangi kontrak bersama pasukan HTP Motorsport selama semusim dengan pilihan sambungan semusim lagi untuk menyertai perlumbaan Piala Blancpain Sprint dan Endurance.
Perlumbaan itu merupakan peneraju kepada kejohanan lumba kereta GT melibatkan 10 perlumbaan di sekitar Eropah.
Jazeman anggap pentas Blancpain ini adalah satu cabaran baru buatnya, sebagai persediaannya untuk menjadi Formula Satu pada suatu hari nanti.
“Cabarannya adalah perlumbaan yang lebih lama. Sebelum ini, perlumbaan saya 45 minit sehingga satu jam namun kini mencecah tiga jam setiap perlumbaan,”
“Jadi saya akan cuba yang terbaik dan kita tunggu dan lihat sama ke mana hala tuju saya,”
Jazeman menyerlah ketika beraksi di Kejuaraan British Formula 3. Dia meniti musim cemerlang selepas beraksi dalam Kejuaraan Formula Renault dan kejayaan hebat tahun lalu ialah muncul juara dalam perlumbaan di litar teknikal di Monaco.