Impian Chun Chen jadi kenyataan pada Sukma
Bernama
September 18, 2022 05:45 MYT
September 18, 2022 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Gimnas Pulau Pinang Ng Chun Chen boleh menarik nafas lega selepas merangkul pingat emas all-round individu lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 pada Ahad.
Pingat emas diraih itu adalah yang pertama bagi kategori individu dalam tiga penampilannya di pentas Sukma selepas membantu Pulau Pinang meraih emas acara berpasukan pada edisi sebelumnya.
Chun Chen mengumpul 77.850 mata dalam keseluruhan enam disiplin, menewaskan rakan seperjuangan dalam kem negara Muhammad Shahrul Aimy Mohd Kamarul Hisam dan Luqman Al Hafiz Zulfa masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.
Muhammad Shahrul yang mewakili Terengganu mengumpul 76.900 mata dan wakil Perak Luqman Al Hafiz sekadar mengutip 76.350 mata.
Lebih manis, persembahan terpuji Chun Chen turut menyumbang kepada kejayaan Pulau Pinang merangkul emas dalam kategori berpasukan lelaki selepas mengumpul keseluruhan 282.300 mata.
"Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan sebab kalau tiada mereka saya juga tidak boleh buat. Sebenarnya, dalam kalangan kami ada yang cedera termasuk saya di buku lali tapi kami tetap berjuang hingga akhir.
"Bagi saya kejayaan pasukan lagi penting daripada individu, untuk berpasukan kita mesti berjuang habis-habisan sebab Pulau Pinang pun sudah banyak kali menang emas dalam Sukma," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Ahad.
Beliau berkata: "Saya sebenarnya sangat gembira menang emas (keseluruhan individu) kerana ia emas individu pertama saya, saya cuba untuk tidak nampak terlalu gembira tetapi sebenarnya saya sangat gembira,".
Sukma edisi kali ini adalah yang terakhir buat Chun Chen yang mahu berehat seketika sebelum kembali menjalani latihan dalam persiapannya menghadapi cabaran tahun hadapan termasuk impian mewakili negara di Sukan SEA dan beberapa temasya serta kejohanan lain.
Dalam pada itu, pingat perak kategori berpasukan lelaki menjadi milik Sabah selepas berjaya mengutip 262.450 mata sementara Johor yang mengumpul 260.250 mata terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa.
Acara gimnastik artistik akan menutup tirai saingannya esok dengan sebanyak 10 pingat emas menjadi rebutan.
-- BERNAMA