Imej lebih segar iringi pecutan Muhammad Azeem di Paris 2024

Bernama
Julai 29, 2024 12:30 MYT
Muhammad Azeem memilih untuk memecut di Stade de France dengan gaya rambut baharu yang lebih pendek serta kemas. - Gambar/ Bernama
SEPANG: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi kini tampil dengan imej yang lebih segar bersempena penampilan sulungnya pada Sukan Olimpik bagi edisi 2024 di Paris.
Tiada lagi rambut ala 'mullet' yang panjang di bahagian belakang dan sinonim dengan imejnya sebelum ini, Muhammad Azeem memilih untuk memecut di Stade de France dengan gaya rambut baharu yang lebih pendek serta kemas.
Atlet berusia 20 tahun itu juga sempat berseloroh beliau mungkin akan mengekalkan potongan rambut baharunya itu selepas ini, sekiranya melakar pencapaian membanggakan di Sukan Olimpik kali ini.
"Rambut baharu ini untuk bina keyakinan diri saya. Sebenarnya memang sudah lama tidak potong rambut untuk hampir tiga tahun, sebelum ini saya kekal dengan 'mullet' namun kali ini dikira pendek.
"Gaya rambut ini tidak diinspirasikan dari sesiapa, ini apa yang saya mahu buat," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 di sini, sebelum berlepas ke Paris, semalam.
Muhammad Azeem, yang bertanding atas tiket wildcard, akan beraksi dalam acara 100 meter (m) lelaki di Paris 2024.
Saingan olahraga Paris 2024 akan membuka tirainya bermula Khamis sehingga 11 Ogos.
Dalam pada itu, pemenang gangsa 100 meter lelaki Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, tidak melihat berita penyingkiran tiga atlet negara yang pulang awal daripada Sukan Olimpik 2024 sebagai sesuatu yang negatif.
Pemegang rekod kebangsaan 100m lelaki dengan catatan 10.09 saat berkata beliau sememangnya bangga dengan semangat juang dimiliki atlet tersebut, biarpun rezeki tidak memihak mereka untuk mara lebih jauh di Paris.
Tiga wakil negara yang terkandas awal adalah dua perenang negara Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin serta penembak Johnathan Wong.
Sukan Olimpik 2024 yang dibuka secara rasmi pada Jumaat, akan berakhir 11 Ogos ini.
-- BERNAMA
#Azeem Fahmi #Sukan Olimpik Paris 2024 #gaya rambut #penampilan pertama
;