Ilicic inspirasi kemenangan terbesar Atalanta dalam Serie A
Astro Arena
Januari 26, 2020 08:20 MYT
Januari 26, 2020 08:20 MYT
TORINO 0 ATALANTA 7
Hatrik daripada Josip Ilicic termasuk sepakan percuma yang menakjubkan menjadi inspirasi Atalanta merakamkan kemenangan 7-0 ke atas Torino, kemenangan terbesar mereka dalam saingan Serie A.
Atalanta, yang bakal berdepan Valencia dalam aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL), melonjakkan harapan mereka untuk mengakhiri saingan liga dalam kelompok empat terbaik menerusi kemenangan yang dilakar semalam.
Ilicic, yang menjaringkan sepakan percuma daripada tengah padang, meledak hatrik keempat dalam saingan Serie A sejak permulaan 2018, hanya Lionel Messi (7) dan Sergio Aguero (6) yang memiliki rekod yang lebih baik di antara lima liga di Eropah.
Ia merupakan kemenangan pertama Atalanta dengan kelebihan tujuh jaringan -- dan kekalahan terbesar Torino di laman sendiri -- menyaksikan Robin Gosens menggandakan jaringan pembukaan Ilicic dengan rembatan voli.
Duvan Zapata menyempurnakan sebelum tamat separuh masa pertama sebelum Ilicic berjaya memperdaya penjaga gol tuan rumah, Salvatore Sirigu, menerusi sepakan percuma pada minit ke-53.
Dia melengkapkan hatrik seminit kemudian dan penghinaan Il Toro dilengkapkan menerusi dua gol daripada Luis Muriel.
Armando Izzo diarah keluar padang selepas dilayangkan dua kad kuning ketika Torino ketinggalan lima jaringan sebelum mereka terpaksa meneruskan permainan dengan sembilan pemain selepas Sasa Lukic dilayangkan kad merah atas kekasaran yang dilakukan ke atas Alejandro Gomez, ketika pelawat sudah meledak tujuh gol.
Skuad kendalian Gian Piero Gasperini itu kini di tangga kelima liga, berkongsi mata dengan Roma yang berada di tangga keempat, sementaran Torino turun ke tangga ke-10.
Atalanta musim lalu menamatkan saingan di tempat ketiga Serie A dan tangga kedua saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) di belakang Manchester City walaupun tewas dalam tiga aksi pertama pertandingan tersebut.