Ikut arahan dirancang bantu Kedah tewaskan Selangor 4-0
Bernama
April 14, 2018 10:19 MYT
April 14, 2018 10:19 MYT
Ketua Jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff menyifatkan disiplin anak buahnya yang bermain mengikut arahan yang telah dirancang menjadi kunci kejayaan kepada pasukan itu menewaskan Selangor 4-0 di Stadium Darul Aman di sini malam tadi.
Pasukan Lang Merah bermula dengan baik apabila berjaya menjaringkan gol pertama menerusi sepakan Mohd Syazwan Zainon disusuli gol kedua dan ketiga pada minit ke-45 dan dan 65 oleh Sandro Da Silva manakala gol keempat oleh Muhammad Akram Mahinan pada minit ke-83.
"Semua pemain bermain dengan baik dan mengikut segala arahan yang telah dirancang. Jaringan gol bukan sasaran yang kita letakkan tetapi empat jaringan yang berjaya membolosi gawang pasukan Selangor cukup menggembirakan saya yang hanya harap pasukan berjaya mencatat kejayaan dengan tiga gol sahaja.
"Rehat panjang yang kita ada sebelum ini juga telah digunakan sebaik mungkin untuk memperkemas barisan pertahanan dan corak permainan. Walaupun pemain tengah pasukan Liridon Krasniqi tidak bermain, pemain lain yang turun malam ini semuanya berkualiti," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Mohd Nidzam Adzha berkata hasil analisa dan penelitian terhadap corak permainan pasukan Selangor dalam perlawanan sebelum ini telah berjaya menyekat dan mengurangkan langkah pasukan lawan yang mempunyai kekuatan dalam serangan pantas.
"Saya lihat kekuatan Selangor secara menyeluruh adalah pada serangan yang pantas selain pemain individu yang hebat iaitu Rufino Segovia Del Burgo dan Mohd Amri Yahyah sebab itu tumpuan yang lebih diberikan untuk memastikan pasukan kita dapat pertahankan gawang daripada dibolosi.
"Bagi perlawanan menentang Terengganu pada 27 April nanti kita akan cari pendekatan bagaimana hendak bermain di sana selain akan memperkemaskan lagi hantaran-hantaran pendek daripada pemain dan sementara menunggu tarikh perlawanan itu kita akan adakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan kepada pemain," katanya.
Sementara itu, Andik Vermansyah berkata dia sedikit gentar untuk berdepan dengan bekas pasukannya itu namun gembira apabila Kedah berjaya melakar kemenangan besar yang sekali gus dapat membantu pasukan untuk berada di kedudukan yang lebih baik.
"Saya gentar bukan kerana kekuatan pasukan Selangor tetapi kerana mereka semua bekas rakan pasukan saya tetapi saya perlu profesional dan memberikan 100 peratus semasa perlawanan. Saya juga harap penyokong Kedah dapat terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan dalam apa jua keadaan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir mengakui perancangan yang dibuat untuk perlawanan itu tidak menjadi kerana berlaku kekurangan dan kelonggaran di setiap posisi namun akan terus memperbaiki permainan pada perlawanan akan datang.
-- BERNAMA