Idham Pawi kembali beraksi di Moto2 di Grandprix Czech

Bernama
Julai 31, 2019 04:49 MYT
KHAIRUL IDHAM: Sokongan daripada pasukan, keluarga dan peminat saya amat penting, dan ia memberikan saya motivasi. - Gambar fail
Selepas terlepas enam pusingan perlumbaan, pelumba Moto2 Malaysia Khairul Idham Pawi, akan kembali beraksi pada Grand Prix Czech yang akan berlangsung di Litar Automotodrom Brno, hujung minggu ini.
Khairul Idham yang dikenali sebagai Super KIP, terpaksa berehat dari menyertai perlumbaan sebelum ini, bagi membolehkan beliau pulih daripada kecederaan tangan yang dialaminya di Grand Prix Sepanyol pada Mei.
Pelumba Petronas Sprinta Racing Team berusia 20 tahun itu yang mengemari litar Brno, telah memperolehi keputusan yang baik pada perlumbaan sebelum ini di litar itu, berharap akan dapat mengejar semula kedudukannya, dengan memperolehi mata perlumbaan pada Ahad.
"Pemulihan berjalan dengan baik, namun jari saya masih belum 100 peratus pulih dari segi kekuatan atau kelenturan.
"Kami berusaha untuk bersedia secepat mungkin, dan saya bekerja keras dengan fisioterapi saya bagi memastikan ia akan menjadi lebih baik tidak lama lagi.
"Ia belum pulih sepenuhnya, tetapi ia bukan satu masalah untuk menunggang dan saya semakin kuat setiap hari.
"Saya suka litar Brno kerana ianya mempunyai banyak selekoh laju dan saya mempunyai kenangan yang baik pada kedua-dua Moto2 dan Moto3, jadi saya akan mencuba sebaiknya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pelumba kelahiran Perak itu menetapkan sasaran untuk kekal 15 terbaik, kerana beliau tahu sukar untuk beliau menduduki tempat lebih baik selepas ketinggalan enam pusingan perlumbaan.
"Sasaran saya adalah untuk kekal di kedudukan 15 terbaik, kerana saya ketinggalan banyak pusingan, jadi agak sukar untuk mengejar kedudukan lebih baik dengan pelumba lain berlumba secara terus, manakala saya tidak berlumba.
"Sokongan daripada pasukan, keluarga dan peminat saya amat penting, dan ia memberikan saya motivasi. Saya perlu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Doktor Mir dan pasukannya kerana mereka telah lakukan yang terbaik, menyelamatkan jari saya," katanya.
Aksi Moto2 di Litar Automotodrom Brno bermula Jumaat (2 Ogos) pada 10:55 pagi waktu tempatan (4.55 petang waktu Malaysia) dengan perlumbaan pada Ahad 12.30 tengah hari waktu tempatan (6.30 petang waktu Malaysia).
-- BERNAMA
#GP Sepanyol #Grand Prix Czech #kecederaan #kembali beraksi #Khairul Idham Pawi #Litar Automotodrom Brno #Pelumba Moto2 #Super KIP
;