Ibrahimovic tidak serik buat kekasaran sia-sia

Astro Arena
November 23, 2021 10:18 MYT
Zlatan Ibrahimovic mengadakan sidang media di Arena Friends, Stockholm, Sweden, 8 Nov 2021. - Gambar fail AP
ZLATAN Ibrahimovic mengakui kekasarannya terhadap Cesar Azpilicueta adalah satu tindakan yang bodoh tetapi menegaskan 100 peratus dia akan melakukannya sekali lagi.
Di penghujung perlawanan ketika Sweden kalah 0-1 kepada Sepanyol minggu lalu yang bermakna mereka perlu melalui play-off untuk mara ke Piala Dunia 2022, Ibrahimovic mengasak Azpilicueta hingga tersembam.
Penyerang veteran itu kemudian dilayangkan kad kuning dan menjadi punca dia tidak dapat beraksi dalam play-off pada Mac tahun depan.
Begitupun, Ibrahimovic berasakan adalah penting baginya untuk membela rakan sepasukan selain memberi pengajaran kepada pertahanan Chelsea itu.
"Ketika bersama pasukan kebangsaan minggu lalu, saya telah mengasarinya (Azpilicueta). Saya sengaja melakukannya. Saya tidak malu untuk menyatakannya kerana dia melakukan sesuatu yang bodoh kepada rakan sepasukan saya. Dia berlagak dengan rakan-rakan saya," kata penyerang Milan itu.
"Ia adalah satu tindakan yang bodoh tetapi saya akan tetap melakukannya agar dia faham: 'Anda tidak perlu berbuat demikian. Anda tidak mempunyai peluang untuk melakukannya terhadap saya. Tetapi saya akan menunjukkan kepada anda apa yang berlaku jika anda melakukannya kepada saya.' Itulah sebab saya melakukannya.
"Ini bukan tentang terlepas perlawanan play-off. Ini tentang membuatkan seseorang itu memahami bahawa anda tidak boleh mengambil kesempatan daripada seseorang yang terbaring di atas padang. Anda tidak perlu menyerang seekor anjing yang tidak bersuara. Seranglah (anjing) yang mampu melakukan sesuatu. Terlalu mudah untuk menyasarkan rakan sepasukan saya yang berumur 20 tahun dan merupakan pemuda yang sangat baik. Saya harap dia faham sekarang.
"Saya tidak takut untuk menyatakannya. Saya akui telah melakukan perkara yang bodoh. Tetapi saya pasti akan melakukannya sekali lagi. 100 peratus.
"Itulah yang saya katakan tentang untuk menjadi 'sempurna'. Menjadi diri sendiri adalah sempurna buat saya. Saya tidak perlu menapis terlebih dahulu soalan yang anda mahu berikan kepada saya."
Ditanya sama ada Azpilicueta sempat berkata apa-apa kepadanya selepas perlawanan itu, Ibrahimovic menjawab: "Apa yang dia boleh katakan? Dia tidak akan mengatakannya kepada saya tetapi dia akan mengatakannya kepada rakan sepasukan saya yang tidak akan bertindak balas kerana mereka terlalu bersikap baik.
"Ia bukan satu perkara yang baik yang dilakukan oleh saya tetapi saya tetap akan melakukannya. Itulah saya. Saya tidak malu untuk menyatakannya."
#Zlatan Ibrahimovic #Cesar Azpilicueta #kekasaran #piala dunia qatar
;