Ibrahimovic tiada sebab rai kejayaan lepasi 500 gol

Astro Arena
Februari 8, 2021 11:25 MYT
Pemain berusia 39 tahun itu hampir dua minggu tersekat dalam jaringan ke-499 selepas digantung akibat kad merah ketika bertemu Inter. - Gambar fail/REUTERS
ZLATAN Ibrahimovic tidak berhasrat untuk meraikan pencapaian terbarunya selepas melepasi angka 500 gol kelab sepanjang kariernya ketika Milan membelasah Crotone 4-0 di San Siro, malam tadi.
Penyerang veteran Rossoneri itu meningkatkan jumlah jaringan kepada 501 apabila penyerang Serie A itu melakar gol berganda keenamnya musim ini.
Rafael Leao menjadi arkitek untuk jaringan pertama Ibrahimovic itu, 15 minit sebelum waktu rehat.
Pemain berusia 39 tahun itu hampir dua minggu tersekat dalam jaringan ke-499 selepas digantung akibat kad merah ketika bertemu Inter selain gagal menyempurnakan sepakan penalti di Bologna.
Ibrahimovic ketika diminta ditemu bual Sky Sport dalam separuh masa mengenai pencapaiannya itu bagaimanapun tidak berminat untuk membincangkan pencapaian peribadi.
"Ia membawa maksud bahawa saya telah menjaringkan beberapa gol sepanjang karier ini," katanya.
"Tetapi apa yang penting adalah membantu pasukan. Tugas saya ialah menjaringkan gol."
Bekas penyerang Sweden itu menokok gol keduanya sebaik perlawanan bersambung sebelum Ante Rebic turut menghasilkan dua gol, yang dijanakan Hakan Calhanoglu dalam tempoh 70 saat untuk Milan mengekalkan kedudukan di kemuncak liga.
Justeru, pengurus, Stefano Pioli, ingin memuji usaha pasukan sambil mengakui khidmat berharga Ibrahimovic.
"Dia mempunyai kualiti yang hebat dan merupakan sang juara yang menunjukkan prestasi yang baik," katanya.
"Dia bercita-cita besar dan berdaya saing, itulah sebabnya dia mamoy bertahan di tahap tinggi.
"Tetapi jangan lupa pemain yang lain juga memberikan yang terbaik. Masih banyak yang perlu diusahakan dan tidak perlu terlalu teruja kerana saat-saat sukar masih ada di depan."
#Zlatan Ibrahimovic #inter milan #penyerang Sweden #Serie A #Liga Itali #bola sepak
;