Ibrahimovic masih belum mahu bersara

Astro Arena
September 14, 2022 12:05 MYT
Berdasarkan umur dan kekerapan Ibrahimovic mengalami kecederaan, ramai berpandangan dia mungkin tidak lagi dapat beraksi secara kompetitif.- Stadium Astro
PEMAIN veteran AC Milan, Zlatan Ibrahimovic, berjanji bahawa dia akan kembali beraksi sambil menegaskan dia masih belum ada perancangan untuk bersara.
Penyerang itu, yang akan berusia 41 tahun bulan depan, menjalani pembedahan anterior cruciate ligament (ACL) pada Mei lalu tetapi menandatangani lanjutan kontrak setahun bersama Rossoneri dua bulan kemudian.
Berdasarkan umur bekas pemain kebangsaan Sweden itu dan kekerapannya mengalami kecederaan, ramai berpandangan bahawa dia mungkin tidak lagi dapat beraksi secara kompetitif tetapi Ibrahimovic menegaskan bahawa dia akan kembali ke lapangan menjelang Januari depan.
"Saya akan kembali tidak lama lagi," katanya kepada La Gazzetta dello Sport.
"Saya tidak akan bersara, saya akan kembali dan tidak akan mengaku kalah." -- Stadium Astro
#Zlatan Ibrahimovic #AC Milan #bersara #bintang Sweden
;