Ibrahimovic mahu sertai LA Galaxy sebelum pilih Manchester United

Agensi
Mac 31, 2018 18:19 MYT
'Singa kelaparan' Ibrahimovic mahu cetus fenomena dalam MLS - Foto twitter.com/Ibra_official
SELEPAS meninggalkan Old Trafford, barulah Zlatan Ibrahimovic berani buka mulut.
Kata bekas penyerang kebangsaan Sweden ini, dia sepatutnya menyertai LA Galaxy dua tahun lalu namun menukar fikiran dengan menandatangani kontrak bersama Manchester United.
“Ia sepatutnya berlaku sebelum Manchester United.
“Fikiran saya di sini. Saya mahu berada di sini,” kata Ibraimovic dalam sidang media pertamanya selepas menyertai Galaxy.
Ibrahimovic bertukar angin ke kelab Liga Bola Sepak Major (MLS) itu minggu lalu selepas persetujuan bersama dengan United untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Dalam tempoh singkat bersama The Red Devils, penyerang tinggi lampai berusia 36 tahun itu tampil dalam 53 perlawanan dengan menyumbat masuk 29 jaringan.
Dalam sidang media sama Ibrahimovic turut ditanya sama ada dia berminat menyarung kembali jersi skuad kebangsaan Sweden dalam Piala Dunia 2018 di Rusia nanti ini.
“Jika saya nak, saya akan ke sana,” jawab Ibrahimovic ringkas.
Jika kecerdasan mengizinkan, pemain jersi nombor 9 LA Galaxy itu akan diturunkan dalam perlawanan menentang LAFC esok.
#bola sepak #LA Galaxy #Manchester United #Piala Dunia #Rusia #Sweden #Zlatan Ibrahimovic
;