Skuad Bawah 13 (B-13) negara meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam kejohanan Ibercup Costa Del Sol 2015 apabila menewaskan skuad OS Belenenses 'G' B-13, 1-0, di Kompleks Sukan Arroyo Primero, Sepanyol, hari ini.

Skuad bimbingan Lim Teong Kim menjuarai Kumpulan D selepas mengumpul sembilan mata penuh. Dalam aksi hari ini, gol kemenangan Malaysia dijaringkan Alif Mutalib pada minit ke-34.

Dalam aksi kumpulan D sebelum ini, Malaysia mencatat kemenangan mengejutkan ke atas Atletico Madrid, 1-0 pada perlawanan pertama sebelum mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab Portugal, SL Olivais.

Malaysia akan berdepan naib juara kumpulan C di peringkat suku akhir. Ketika ini kelab Portugal, Sporting CP mengungguli kumpulan C dengan mencatat dua kemenangan dan FC Barreirense di kedudukan kedua selepas mengumpul tiga mata daripada dua perlawanan.

Kejohanan Ibercup Costa Del Sol dianggap kejohanan peringkat umur berprestij di dunia kerana turut membabitkan pasukan daripada kelab ternama dunia.