'Ia sesuatu yang amat buruk', Bautista Agut samakan kuarantin di hotel dengan penjara

Astro Arena
Januari 19, 2021 12:35 MYT
Bagi Bautista Agut, yang mara ke suku akhir kejohanan di Melbourne Park itu pada 2019, tempoh kuarantin selama dua minggu itu akan menjadi sesuatu yang amat sukar. - Instagram@robertobautistaagut
ROBERTO Bautista Agut melabelkan pendekatan kuarantin pemain menjelang Kejohanan Tenis Terbuka Australia sebagai sesuatu yang "amat buruk" sambil menyamakannya dengan penjara.
Selepas dikhuatiri terdedah kepada koronavirus dalam pesawat sewaktu menuju ke Australia, 72 pemain kini dikuarantin di hotel selama dua minggu menjelang pembukaan kejohanan itu pada 8 Februari ini.
Ramai pemain tidak bersetuju dengan ketetapan itu tetapi pengarah kejohanan berkenaan, Craig Tiley, menegaskan bahawa kebanyakan pemain gembira untuk berada di Australia.
Namun, pemain nombor 13 dunia, Bautista Agut, menyelar ketetapan itu, yang dikenakan terhadap dirinya dan pemain lain.
Ditanya adakah dia kelihatan seperti berada di dalam penjara, pemain berbangsa Sepanyol itu berkata kepada Sport5: "Ia sama, Ia memang sama, cuma ada Wi-Fi.
"Mereka ini langsung tidak faham mengenai tenis, tentang berlatih di gelanggang, mereka tidak tahu apa-apa, jadi ia amat buruk disebabkan itu, disebabkan mereka mengawal segala-galanya.
"Mereka bukan dari Tennis Australia, mereka orang daripada kerajaan," katanya.
Kawasan Victoria merekodkan hari ke-13 tanpa sebarang jangkitan tempatan koronavirus hari ini dengan tiga daripada empat kes yang sedang dikuarantin di hotel adalah berkaitan dengan Terbuka Australia.
Bagi Bautista Agut, yang mara ke suku akhir kejohanan di Melbourne Park itu pada 2019, tempoh kuarantin selama dua minggu itu akan menjadi sesuatu yang amat sukar.
"Saya pernah melakukan kerja di dalam bilik tetapi ia tidak sama.
"Saya berasa amat-amat sempit dan tidak dapat bayangkan bagaimana untuk duduk selama dua minggu seperti ini.
"Ia amat-amat sukar," katanya lagi.
- StadiumAstro.com
#Roberto Bautista Agut #Kejohanan Tenis #Terbuka Australia #pemain tenis #pandemik #COVID-19 #kuarantin
;