"Ia sangat pelik" - De Gea selar bola rasmi baharu Piala Dunia, Telstar 18
Israr Khalid
Mac 25, 2018 13:53 MYT
Mac 25, 2018 13:53 MYT
REMBATAN dari luar kotak Thomas Muller yang gagal diselamatkan David De Gea menyamakan kedudukan pada minit ke-35, mengikat Sepanyol dengan Jerman untuk seri 1-1 dalam aksi persahabatan pada Jumaat.
Rembatan itu melencong cantik menuju penjuru atas kanan gawang, melepasi gapaian penjaga gol La Roja itu yang kemudian menyelar bola yang digunakan, iaitu Telstar 18 keluaran Adidas.
“Ia sangat pelik. Ia sepatutnya dibuat dengan lebih baik,” rungut pemain berusia 27 tahun itu yang mengatakan pergerakan bola rasmi yang bakal digunakan di Rusia dalam edisi terbaharu temasya itu bakal memberi mimpi ngeri kepada penjaga gawang.
Kenyataan itu turut disokong rakan sepasukan di posisi sama, Pepe Reina di mana katanya bola baharu itu sukar dibaca terutamanya daripada sepakan jarak jauh.
“Ia diselaputi lapisan filem plastik yang membuatkannya sukar untuk dipegang dengan kemas.
“Saya beri jaminan bahawa kita bakal menyaksikan sekurang-kurangnya 35 gol dari jarak jauh di Rusia nanti, kerana ia memang sukar dikendalikan,” jelas pemain jersi No.1 Napoli itu.
Namun bagi penjaga gol Barcelona dan Jerman, Marc-Andre ter Stegen melihat ia sebagai satu cabaran yang perlu diatasi sebelum bermulanya Piala Dunia Jun ini, mahu tidak mahu.
“Bola itu mungkin akan menjadi lebih baik, kerana ia bergerak dengan mudah.
“Kita tidak ada pilihan lain,” katanya.