Hup Wei sasar lima tahun Malaysia kembali gah lompat tinggi Sukan SEA

Bernama
Februari 20, 2024 04:00 MYT
Lee Hup Wei memerlukan masa lima tahun bagi meletakkan Malaysia kembali sebagai kuasa besar acara lompat tinggi lelaki di pentas Sukan SEA. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jurulatih pelapis lompat tinggi negara, Lee Hup Wei memerlukan masa lima tahun bagi meletakkan Malaysia kembali sebagai kuasa besar acara lompat tinggi lelaki di pentas Sukan SEA.
Bekas atlet kebangsaan itu berkata, beliau ketika ini giat mencungkil bakat baharu termasuk bekerjasama dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam usaha menaikkan semula reputasi Malaysia dalam lompat tinggi pada temasya tersebut.
"Kita perlu ambil masa, susah mahu jangka namun diharapkan dapat lakukan dalam masa lima tahun. saya juga akan cuba yang terbaik (melahirkan atlet berkualiti) memandangkan Malaysia akan jadi tuan rumah pada Sukan SEA 2027 nanti.
"Selain melatih kira-kira 10 atlet dari SSBJ, saya juga akan melakukan pencarian bakat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos ini serta kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Juara Sukan SEA edisi Korat 2007, Vientiane 2009, Jakarta-Palembang 2011 dan Manila 2019 itu turut berharap dapat melahirkan atlet berwibawa untuk diserapkan ke dalam skuad Sukan SEA 2025 di Thailand.
Penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi lelaki berakhir apabila Nauraj Singh Randhawa yang merupakan pemenang edisi Naypyidaw 2013 (Myanmar), Singapura 2015 dan KL 2017, sekadar meraih pingat perak pada Sukan SEA 2021 di Hanoi.
Malaysia memenangi pingat emas acara itu dalam setiap edisi Sukan SEA sejak 1977, kecuali pada Sukan SEA 2005 di Manila. - BERNAMA
#Sukan SEA #Lee Hup Wei #lompat tinggi #Malaysia
;