Hull City mara ke perlawanan akhir Piala FA Inggeris buat kali pertama

Astro Awani
April 14, 2014 09:37 MYT
Hull City melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama selepas membenam kelab divisyen satu, Sheffield United 5-3 dalam perlawanan Piala FA Inggeris.
Beraksi di Wembley, Sheffield terlebih dahulu di depan pada minit ke 19 hasil jaringan Jose Bexter yang menyempurnakan hantaran John Brayford.
Tersentak Hull bangkit memburu gol penyamaan dan hasilnya tiga minit sebelum rehat Yannick Sagbo meledak gol buat pasukannya.
Selang dua minit, Sheffield kembali mendahului dengan gol Steven Scougall.
Bersambung babak kedua, Hull yang beraksi di Liga Perdana Inggeris tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Matt Fryatt di minit ke 49.
Lima minit selepas itu, giliran bekas pemain Tottenham, Tom Huddlestone meletakkan Hull di depan buat kali pertama.
Minit ke 67, Stephen Quinn menambah derita Sheffield dengan gol keempat.
Jamie Murphy kemudian kembali merapatkan jurang buat pasukannya dengan gol ketiga, namun jaringan tersebut tidak memadai untuk membawa mereka ke peringkat akhir.
Sebaliknya David Meyler menyumbat masuk gol kelima pasukannya di minit akhir perlawanan.
Hull kini akan berdepan Arsenal di perlawanan akhir bulan depan.
#Hull City #Piala FA Inggeris #Sheffield United
;