Hukuman lebih berat menanti pemain tenis mengamuk

Astro Arena
April 6, 2022 17:34 MYT
ATP akan bersikap lebih tegas dalam menilai pelanggaran tata kelakuan pemain. - Foto: StadiumAstro
MEMANDANGKAN siri salah laku berprofil tinggi kebelakangan ini, ATP mengeluarkan amaran bahawa pemain berdepan hukuman yang lebih tegas atas salah laku mereka di atas gelanggang bagi menyekat kesalahan berulang.
Nick Kyrgios didenda kerana mengeluarkan kata-kata lucah yang jelas boleh didengari selain menghempaskan raketnya selepas kekalahannya kepada Rafael Nadal dalam Terbuka Indian Wells, hingga hampir mengenai pengutip bola; sementara Alexander Zverev dibatalkan penyertaannya dalam Terbuka Mexico pada Februari lalu gara-gara berulang kali menghempas raketnya ke arah kerusi pengadil.
Jenson Brooksby juga menerima kecaman dalam Miami Masters apabila membaling raketnya dan terkena pengutip bola dalam kemenangannya ke atas Federico Coria, malah Coria menganggap penalti mata sahaja tidak memadai untuk menghukum tindakan seperti itu.
Justeru, tindakan meluahkan kemarahan di atas gelanggang baru-baru ini telah mendorong ATP untuk bertindak.
"Berkuat kuasa serta-merta dan ketika kita menuju ke gelanggang tanah liat, ATP akan bersikap lebih tegas dalam menilai pelanggaran tata kelakuan pemain," tulis ketua Jelajah ATP, Andrea Gaudenzi. dalam surat pekeliling kepada pemain.
"Selain itu, kami juga sedang menjalankan semakan kod serta proses tatatertib untuk memastikan hukuman lebih sesuai dan terkini bagi pelanggaran serius dan pesalah berulang."
Kyrgios turut didenda selepas tewas kepada Jannik Sinner di Miami kerana mengkritik pengadil dan mematahkan raketnya dan di sebalik Zverev pernah dikenakan penggantungan lapan minggu kerana bertindak keterlaluan di Acapulco, ATP nampaknya bertekad membatalkan penyertaan pesalah laku pada masa depan.
- StadiumAstro.com - Shaiful Shamsudin
#pemain tenis #panas baran #hempas raket #tenis #ATP
;