Hujan lebat tidak patahkan semangat penyokong JDT dan Pahang

Bernama
November 1, 2014 11:34 MYT
Antara penyokong yang tiba awal bagi menyaksikan perlawanan - Foto Bernama
Keadaan hujan lebat sebelum aksi final Piala Malaysia 2014 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini tidak melunturkan semangat penyokong mereka beratur sebelum memasuki stadium itu.
Penyokong JDT, Mohd Nor Abu, 54 berkata beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk datang ke stadium bagi menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan JDT dan hujan lebat bukanlah satu halangan berat baginya dan juga rakan-rakan yang lain.
"Saya telah melalui pelbagai halangan sejak menjadi penyokong JDT, hujan lebat bukanlah satu perkara besar bagi saya kerana kami anak Johor tidak pernah patah semangat untuk memberi sokongan moral kepada pasukan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di stadium itu.
Anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu menceritakan pengalam pahit yang dialaminya dan rakan-rakan apabila terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer bagi mendapat bantuan apabila keretanya rosak dalam perjalanan ke Stadium Nasional pagi tadi.
"Saya berharap pengorbanan saya ini dibalas dengan kejayaan JDT pada malam ini," katanya.
Sementara itu, penyokong Pahang, Lina Zul, 40 berkata beliau sanggup berjalan kaki dalam hujan lebat ke stadium dan melindungi tiket perlawanan yang diletakan dalam beg dengan plastik kerana risau tiket akan basah.
"Kerana tidak bawa payung saya terpaksa berlari bagi mencari tempat perlindungan namun semua tempat telah penuh menyebabkan pakaian saya basah," katanya.
Anak jati Pahang yang kini menetap di Gombak itu berkata, beliau telah berada di Bukit Jalil sejak pukul 2 petang semata-mata untuk menjadi orang terawal untuk masuk ke stadium.
Perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 menyaksikan pertembungan antara pasukan JDT dan Pahang dan akan memulakan sepak mula pada 8.45 malam.
Untuk rekod, Pahang adalah penyandang juara Piala Malaysia musim lepas selepas menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Shah Alam tahun lepas.
#bola sepak #JDT #Pahang #Piala Malaysia