Hujan, ancaman ribut petir tidak halang perarakan trofi Manchester City

Astro Arena
Jun 13, 2023 13:00 MYT
Ribuan penyokong membanjiri jalanan untuk memberikan sorakan buat pasukan bimbingan Pep Guardiola itu, yang meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL). - Stadium Astro
HUJAN dan ancaman ribut petir tidak menghalang Manchester City untuk melakukan perarakan keraian gelaran 'treble' mereka di atas bas tidak berbumbung awal pagi tadi.
Ribuan penyokong membanjiri jalanan untuk memberikan sorakan buat pasukan bimbingan Pep Guardiola itu, yang meraih gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan menewaskan Inter Milan di Istanbul hujung minggu lalu selepas turut menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala FA.
Akses ke pentas persembahan di St Peter’s Square pada awalnya ditangguhkan berikutan laporan kaji cuaca yang meramalkan cuaca hujan dan ribut petir di kawasan itu sebelum kelab berkenaan mengumumkan bahawa perarakan trofi dari Beetham Tower ke Deansgate akan diteruskan.
Pasukan itu menaiki trem ke St Peter’s Square, di mana empat bas kemudian bergerak ke Deansgate dan Cross Street sebelum melalui King Street, Brown Street dan kemudian Booth Street sebelum berakhir di Nicholas Street.
Pemain pertahanan, Nathan Ake, memegang trofi EPL untuk meraikannya bersama penyokong City, yang sanggup meredah hujan dan ramai daripada mereka juga sanggup berjalan kaki mengiringi pasukan itu ke pentas utama.
Pemain tengah, Phil Foden, pula membawa trofi UCL sambil Guardiola mencuri tumpuan dengan adegannya menghisap cerut. -- Stadium Astro
#Manchester City #Liga Juara-Juara #Liga Perdana Inggeris #Pep Guardiola
;