Hughes pecah rekod 30 tahun British
Sinar Harian
Jun 25, 2023 14:53 MYT
Jun 25, 2023 14:53 MYT
PELARI pecut, Zharnel Hughes melakar rekod baharu British dalam acara 100 meter (m) milik Linford Christie yang berusia 30 tahun menerusi catatan 9.83 saat (s) ketika mengungguli Grand Prix New York, awal pagi Ahad.
Pelari Britain berusia 27 tahun itu meninggalkan pelari Jamaica, Ackeem Blake dan Christian Coleman dari Amerika Syarikat pada separuh perlumbaan untuk memenangi saingan itu.
Pertandingan itu menjadi pentas pemanas badan sebelum tampil dalam Kejohanan Dunia dekat Budapest Ogos depan.
Hughes yang dilahirkan di Anguilla bangga dengan kejayaan itu, namun mendedahkan beliau belum puas dengan kemenangan tersebut.
“Tiada yang mustahil. Perkara yang menarik ialah saya belum mencapai tahap kelajuan maksimum lagi. Ini adalah kepantasan biasa,” kata Hughes.
Dia yang merupakan juara 100m Eropah 2018, mengalahkan naib juara, Blake dengan 0.1 saat, manakala juara dunia 2019, Coleman, ketiga dengan catatan 10.02.
Hughes mengatasi rekod lama British 9.87s yang dilakukan oleh Christie pada 1993 di Stuttgart.
Kejayaan itu mengimbas kenangan Hughes beraksi di New York sebelum ini ketika berlumba bersama legenda pecut dunia, Usain Bolt yang ketika ini merupakan antara rakan sepelatihnya di Jamaica.
“Pada 2015 saya datang ke sini dan bersaing bersama Usain Bolt. Ia sesuatu yang tidak dapat dilupakan.
“Sabar dan terus bersabar. Itulah yang sering diingatkan kepada saya selain jangan terbawa-bawa dengan kejayaan lalu,” ujar Hughes. -Sinar Harian