Hormati keputusan pemilihan 25 pemain - Pan Gon
Bernama
November 11, 2023 08:00 MYT
November 11, 2023 08:00 MYT
PETALING JAYA: Pemilihan 25 pemain skuad bola sepak kebangsaan ke kem latihan pusat yang akan mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sepatutnya dihormati semua pihak, kata pengendali skuad itu, Kim Pan Gon.
Menurut Pan Gon, selaku jurulatih beliau mempunyai alasan tersendiri berkenaan pemilihan pemain selain optimis telah memilih barisan pemain terbaik dengan mengambil kira taktikal dan strategi pasukan.
"Setiap satu kem, kami mahu memilih yang terbaik dan saya tahu peminat dan media mempunyai pandangan berbeza berbanding pilihan kami tetapi diharap setiap orang memahami kami hanya boleh memilih 23 orang yang akan tersenarai ... dan kami memikirkan semua faktor taktikal dan teknikal ... setiap posisi memerlukan sesuatu yang berlainan," katanya.
Pan Gon berkata kepada pemberita selepas latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, pada Jumaat.
Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, selain menitik beratkan soal taktikal dan teknikal permainan, beliau turut mementingkan soal komitmen, kesetiaan dan pengorbanan dicurahkan para pemain yang tersenarai.
"Terlalu banyak suara bagi saya yang mendatangkan tekanan dan dalam aspek pemilihan pemain perlu kami diberikan kebebasan untuk memilih. Terlebih cakap dan terlalu meminta ... itu bukan sesuatu yang bagus dan saya fikir ini adalah keputusan taktikal dan teknikal dan pasukan menghargai keputusan itu dan kita perlu hormat satu sama lain," katanya.
Sebelum ini, Pan Gon mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil ke latihan pusat bermula hari ini, termasuk lima pemain yang kembali tersenarai iaitu Mohamadou Sumareh, Muhammad Afiq Fazail, Muhammad Syahmi Safari, Mohd Shahrul Mohd Saad dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Bagaimanapun, timbul pertikaian berhubung pemilihan sesetengan pemain dibuat Pan Gon itu.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 Nov di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Mereka kemudian akan ke Taipei City bagi perlawanan kedua bertemu Taiwan pada 21 Nov. - BERNAMA