Hormat keputusan Selangor FC tidak hadir Piala Sumbangsih - Zainal Abidin
Faida Rahim
Mei 9, 2024 13:25 MYT
Mei 9, 2024 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan meminta semua pihak menghormati keputusan Selangor FC untuk tidak hadir bagi meneruskan perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super musim 2024-2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Zainal berkata, keselamatan pemain pasukan Selangor FC perlu diberi keutamaan ketika ini.
"Sama ada tindakan ini salah atau tidak... kita tidak tahu. Ini adalah isi kandung yang Selangor bentangkan untuk meminta tangguh, tetapi dalam keadaan begini mungkin menjejaskan keseluruhan pasukan dan dengan jasa baik Selangor minta penangguhan ini.
"Namun keputusan terletak kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Bagi saya kita kena hormat keputusan Selangor.
"Bagi saya ini satu kejutan bagi pemain bola sepak, dan yang kedua kejutan juga, iaitu minta penangguhan.
"Mereka yang berada dalam keadaan yang berlaku ini mungkin memikirkan tindakan yang terbaik adalah dengan meminta penangguhan, jadi pandangan saya rasa kita kena hormatlah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya lagi, orang ramai terutama peminat bola sepak tanah air perlu faham dengan situasi suram dilalui pemain Selangor FC ketika ini.
Beliau turut menasihatkan pemain bola sepak tanah air dalam keadaan berjaga-jaga dan kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.