Hon Jian-Ee Wei bermula langkah kanan di Terbuka Austria
Bernama
Mei 28, 2021 06:26 MYT
Mei 28, 2021 06:26 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Choong Hon Jian-Toh Ee Wei meneruskan rentak cemerlang selepas muncul juara Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021, apabila berjaya melepasi pusingan pertama Terbuka Austria pada Jumaat.
Pasangan bukan pilihan itu mengejutkan wakil tuan rumah yang juga pilihan kelapan kejohanan Philip Berker-Katharina Hochmeir 21-11, 21-23, 21-12 untuk menempah pertemuan dengan satu lagi pasangan negara Muhammad Haikal-Low Yeen Yuan, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bwfbadminton.com.
Muhammad Haikal-Yeen Yuan sebelum itu menewaskan pasangan Perancis Nicolas Hoareau-Laeticia Jaffrennou 21-19, 21-16.
Turut mara ke pusingan kedua, Beh Chun Meng-Cheng Su Hui menewaskan pasangan Belanda Aram Mahmoud-Amy Tan 21-14, 19-21, 21-12 dan dijadual berdepan pilihan keenam dari Poland Pawel Smilowski-Wiktoria Adamek yang mengenepikan pasangan negara Goh Boon Zhe-Cheng Su Yin.
Sementara itu, tuah menyebelahi pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh apabila lawannya dari Slovenia Milan Dravata terpaksa menarik diri, untuk berdepan pemain Indonesia Panji Ahmad Maulana.
Tiada wakil acara perseorangan wanita mara ke pusingan seterusnya selepas pemain negara Khor Jing Wen tewas kepada pemain Switzerland Jenjira Stadelmann 10-21, 21-12, 21-17 sementara Siti Nurshuhaini terpaksa menarik diri sekali gus memberi kemenangan percuma kepada wakil Sepanyol Beatriz Corrales.
-- BERNAMA
#Terbuka Austria
#beregu campuran negara
#Choong Hon Jian
#toh ee wei
#Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021
#BWF
#badminton
#muhammad haikal
#Yeen Yuan