"Hola! Saya Neymar!"
Razak Chik
Ogos 9, 2013 16:57 MYT
Ogos 9, 2013 16:57 MYT
SEKUMPULAN pelajar Victoria Institution (VI) meraikan hari raya ke-2 di padang bola – bersama bintang Barcelona Nyemar.
Pemain berumur 21 tahun dari Brazil itu mengambil sedikit masa yang terluang dari jadual pasukan Barcelona yang dalam rangka lawatan pra-musim ke Asia. Minggu lepas Barca berada di Thailand dan mereka tiba di Malaysia yang merupakan destinasi lawatan mereka terakhir sebelum pulang ke Sepanyol untuk memulakan musim La Liga 2013/2014.
VI dipilih salah satu penaja lawatan ini kerana sekolah ini mempunyai program pembangunan bolasepak di peringkat remaja yang boleh dikira ternama di Lembah Kelang.
Dalam masa yang singkat bersama bintang bolasepak yang diminati mereka, pelajar-pelajar bertuah VI yang sanggup meluangkan masa pada cuti hari raya sempat melihat dengan mata kepala sendiri kecekapan Neymar di padang. Kegembiraan yang jelas dapat dilihat pada wajah salah seorang pelajar VI yang bertuah, Muhammad Syafiq Salmi, 15 tahun yang sempat memeluk idola bolanya. Keterujaannya bertambah apabila Neymar menghadiahkannya sampul surat mengandungin tiket untuk perlawanan yang amat dinanti-nantikan itu.
Bintang muda Brazil itu tidak lokek menunjukkan cara-cara mengawal bola dengan cekap termasuk teknik langkah-elak yang mampu mengelirukan pemain lawan. Walaupun mereka tidak sempat berkomunikasi kerana Neymar hanya mampu bertutur dalam Bahasa Portugis Brazil, kesempatan bermain di padang yang sama sudah cukup bagi mereka menimba sedikit ilmu dari bintang kesayangan mereka.
Neymar bersama Lionel Messi dijangka bermain di barisan penyerang apabila Barcelona berentap dengan Pasukan Malaysia di Stadium Bukit Jalil pada malam Sabtu ini (10 Ogos).
Lawatan ini diatur dan diurus oleh Nike Malaysia. Nike merupakan pembekal jersi untuk pasukan Barcelona.
Laman social facebook dan twitter dipenuhi komen dari penuntut-penutut sekolah lain yang menyuarakan sedikit iri hati kerana tidak mendapat peluang yang sama yang dirasai oleh rakan-rakan VI mereka. Namun demikian, mereka tetap tumpang gembira seorang bintang bertaraf dunia sanggup datang ke sebuah sekolah di negara ini.