Hoki wanita negara tewaskan Thailand 4-0
Astro Arena
Jun 8, 2015 09:43 MYT
Jun 8, 2015 09:43 MYT
Skuad kendalian Mohammed Nasihin Nubli Ibrahim bagaimanapun menerima saingan sengit daripada Thailand sehingga Noor Hasliza Md Ali menjaringkan gol pembukaan menerusi jaringan padang pada minit ke-32.
Kemudian Wan Norfaeizah Md Saiuti menambah jaringan kedua menerusi gol padang pada tiga minit kemudian.
Bersambung babak kedua, Rabiatul Adawiyah Mohamed mengesahkan kemenangan pasukan negara menerusi dua gol hasil daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan ke-40.
Skuad negara akan melengkapkan perlawanan pusingan awal bertemu Indonesia pada Selasa ini. Semalam, skuad negara membuka kempen mempertahankan pingat emas dengan mengalahkan Singapura 7-0.
Nasihin berkata pasukannya itu perlu memperbaiki taktikal permainan dan meningkatkan keyakinan diri dalam perlawanan.
"Perlawanan hari ini hanya untuk mencari kemenangan. Masih ada kelemahan dari segi taktikal. Kami akan bermain untuk menang ketika menentang Indonesia nanti. Beberapa pemain utama juga perlu direhatkan," katanya.
Pemain yang tidak akan beraksi ketika menentang Indonesia ialah Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Norbaini Hashim.