Hoki: Van Huizen akui pemain muda masih gugup
Astro Arena
Mac 31, 2016 21:08 MYT
Mac 31, 2016 21:08 MYT
KETUA jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen tidak akan memberi penampilan skuad senior pertama kepada pemain muda Najib Abu Hassan dan Nik Muhammad Aiman pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak.
Pemain muda negara dilihat gugup sepanjang program latihan Jelajah Oceania di New Zealand dan Australia, minggu lalu.
Ia petanda mereka kurang pengalaman, elemen yang penting untuk mencabar kejohanan besar seperti Piala Sultan Azlan Shah.
Menjelang pengumuman senarai 18 pemain Jumaat ini, Stephen masih belum kagum dengan kemampuan pemain muda.
"Mereka telah melakukan perkara baik walaupun kurang konsisten. Tetapi mereka telah belajar dari setiap perlawanan.
"Saya fikir perlawanan demi perlawanan membuatkan mereka bertindak bijak di atas padang. Ada yang sedang berhempas pulas, tetapi inilah pendedahan dan peluang dalam hoki kebangsaan," kata Van Huizen.
Malaysia akan menghadapi dua aksi persahabatan di Ipoh iaitu menentang skuad pembangunan dan Australia.
Stephen dijangka akan membawa 20 pemain ke Ipoh dan senarai akhir akan diputuskan selepas aksi menentang Australia.
ini bermakna, tugas makin sukar untuk Mohd Najib Abu Hassan dan Nik Muhammad Aiman Rozemi.
"Sememangnya saya akan berjuang betul-betul dan saya nak bermain di Piala Sultan Azlan Shah untuk mencari cap pertama dengan skuad senior," kata Najib.
Malaysia akan memulakan saingan dengan pertemuan menentang New Zealand pada hari pertama kejohanan. Manakala India akan menjadi seteru terakhir Malaysia pada 15 April.
Astro Arena akan membawakan kejohanan ini secara terus di kaca televisyen bermula hari pertama kejohanan, 6 April ini.
Saksikan aksi sulung Malaysia yang akan turun menentang New Zealand pada 8 malam.