Hoki: THT belasah UiTM HA-KPT 5-1
Bernama
Mac 15, 2023 09:20 MYT
Mac 15, 2023 09:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) berpesta gol apabila membelasah skuad UiTM HA-KPT 5-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB (TNB-MHL) 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Anak buah Seo Jongho yang bermula garang berjaya memecahkan kebuntuan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti Ismail Abu, sebelum Ismail menambah gol padang pada minit ke-18.
Pemain import THT, Jang Jonghyun dari Korea Selatan terus melebarkan jurang apabila meledak pukulan sudut penalti tiga minit kemudian, dan terus menambah duka anak buah Mohd Nor Aqmal Abdul Gaffar hanya tiga minit sebelum suku masa ketiga tamat.
UiTM HA-KPT berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi Wan Haziq Hisyamuddin Wan Ameer Ruzman pada minit ke-56 sebelum penyerang kebangsaan Faizal Saari menoktahkan kemenangan buat THT dua minit kemudian.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank terpaksa berpuas hati selepas terikat 2-2 pada pertembungan pertama malam tadi.
Terdahulu, pasukan hoki wanita Negeri Sembilan (NSE) menundukkan skuad Terengganu-MSNT (TLHT-MSNT) 4-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars.
Juara bertahan Liga Hoki Wanita Malaysia, NSE tidak menunggu lama untuk memecahkan kebuntuan apabila Nuramirah Shakirah Zulkilfli membuka jaringan menerusi gol padang pada minit kedua perlawanan, sebelum Nur Afiqah Syahzani Azhar turut meledak gol padang seminit kemudian.
Fatin Shafika Mohd Sukri terus menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti tiga minit kemudian dan Nur Afiqah Syahzani Azhar pula berjaya menoktahkan kemenangan pasukan pada minit ke-23 menerusi jaringan gol padang.
Bagaimanapun, TLHT-MSNT berjaya menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-29 menerusi Nur Syahirah Azwan.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir pertama Piala Vivian May Soars, pasukan KPT-Uniten Thunder berjaya menewaskan skuad Young Tigress, 2-1.
Aksi separuh akhir kedua akan berlangsung pada Khamis ini.
-- BERNAMA