Hoki: The Speedy Tigers cemerlang, benam Ireland 4-2
Astro Arena
Jun 26, 2015 08:55 MYT
Jun 26, 2015 08:55 MYT
Skuad hoki negara mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Ireland 4-2 dalam aksi separuh akhir, kumpulan B, Liga Hoki Dunia (HWL) 2015 yang berlangsung di Stadium KHC Dragons, Antwerp, Belgium.
Kemenangan itu juga mencapai misi The Speedy Tigers untuk menduduki sekurang-kurangnya tempat ketiga dalam kumpulan untuk memburu peluang lebih baik bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Perlawanan nyata sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan. Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin meletakkan The Speedy Tigers di depan apabila melakukan jaringan di minit ke-13 ketika keadaan kelam kabut di depan gawang Ireland selepas skuad negara mengambil pukulan sudut penalti
Seminit kemudian, The Green Machines menyamakan kedudukan 1-1 selepas pukulan Peter Caruth gagal di selamatkan penjaga gol negara, Roslan Jamaluddin.
Sebaik suku kedua bersambung, Malaysia kembali mendahului perlawanan apabila kapten pasukan, Muhammad Razie Abdul Rahim menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-16. Bagaimanapun, seperti jaringan pertama, skuad Ireland tidak perlu menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, kali ini hasil jaringan Shane O'Donoghue menerusi pukulan sudut penalti.
Anak buah Tai Beng Hai kembali mendahului perlawanan apabila meledak gol ketiga hasil jaringan Sukri Mutalib yang bijak menyempurnakan lantunan pukulan sudut penalti.
Lima minit kemudian, Izwan Firdaus sekali lagi muncul melakukan jaringan buat skuad negara yang juga jaringan kedua peribadinya, sekaligus menamatkan kedudukan dengan keputusan 4-2.