Hoki: Sepanyol catat rekod tanpa kalah, Belanda raih slot ke suku akhir

Bernama
Disember 9, 2023 15:06 MYT
Aksi pemain Belanda, Jansen Guus (tiga, kanan) ketika menyerbu gawang gol pasukan New Zealand pada perlawanan peringkat kumpulan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sepanyol menewaskan Korea Selatan 8-2 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2023 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Berbekalkan kemenangan selesa itu, skuad 'the Junior Red Sticks' tersebut yang menundukkan Kanada 7-0 dan India 4-1 sebelum ini, mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan C dengan sembilan mata.
Pasukan nombor enam dunia itu yang menyasarkan kejuaraan JWC sulung mereka, akan berdepan naib juara Kumpulan D iaitu antara Belanda, Pakistan dan Belgium, dan akan diketahui selepas perlawanan India menentang Kanada malam ini.
Terdahulu, Pol Cabre Verdiell menjaringkan gol permulaan menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelima dan keenam permainan untuk meletakkan Sepanyol di depan.
Nicolas Alvarez (18' dan 26') dan Pablo Espino (32' dan 35') turut menjaringkan gol berganda, manakala Enric Miralles (14') dan Bruno Font (16') merekodkan gol padang setiap seorang, sekali gus memberi kemenangan besar kepada Sepanyol.
Korea Selatan berjaya mengurangkan defisit menerusi pukulan sudut penalti Lee Seunghwan pada minit ke-29 dan gol padang Park Geonwoo pada minit ke-58.
Ketua jurulatih Sepanyol Oriol Torras Puig berkata permainan pantas dan menjaringkan gol pada minit-minit awal merupakan kunci kejayaan mereka.
"Cara kami ialah bermain pantas, sentiasa bermula dengan baik dan menjaringkan gol lebih awal. Jika keadaan tidak berjalan lancar selepas itu kita mesti bertahan dengan baik, seperti ketika bermain menentang India, mereka banyak menyerang tetapi kita berjaya bertahan dengan baik.
"Kami tidak tahu pasukan mana yang akan kami lawan (pada Selasa), tetapi berdepan mana-mana tiga pasukan itu adalah mencabar dan sukar, semuanya sangat hebat. Yang paling penting sekarang ialah pulih dengan baik, kemudian bersedia untuk perlawanan," katanya.
Sementara itu, Belanda memperoleh tiket ke suku akhir selepas menewaskan New Zealand 3-1 dalam perlawanan Kumpulan D, hasil jaringan padang Olivier Hortensius pada minit ke-19 dan 31.
Casper Van Der Veen turut mencapai sasaran pada minit ke-22 manakala New Zealand yang masih belum memenangi perlawanan dalam kejohanan itu, membalas menerusi James Nicolson pada minit ke-33.
"Saya gembira kerana berjaya mara ke suku akhir, itu adalah matlamat kami di peringkat kumpulan. Kami telah mencipta banyak peluang, sepatutnya mencipta lebih banyak gol ketika menentang Belgium dan New Zealand," kata ketua jurulatih Netherland Jesse Mahieu.
-- BERNAMA
#Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 #Sepanyol kalahkan Korea Selatan #suku akhir #JWC 2023
;