Hoki Piala Dunia: Speedy Tigers diundi bersama juara tiga kali Belanda, New Zealand, Chile

Bernama
September 8, 2022 19:10 MYT
Mengikut rekod pertemuan dengan Belanda, Malaysia hanya menang 2-1 pada Piala Dunia edisi 1975 di Kuala Lumpur. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara bakal berdepan dengan tugas getir meskipun meletakan sasaran melepasi saingan peringkat kumpulan di pentas Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Jan depan.
Skuad bimbangan A. Arul Selvaraj berdepan dengan tugas mencabar setelah diundi dalam Kumpulan C bersama juara dunia tiga kali dan finalis edisi lepas, Belanda, juara Oceania, New Zealand dan jaguh benua Amerika Selatan, Chile.
Majlis undian tersebut disiarkan secara langsung dari India di laman web watch.hockey, hari ini.
Mengikut ranking dunia, Belanda selaku naib juara edisi lepas pada 2018, menduduki tangga ketiga, New Zealand ( 9), Malaysia (10) dan Chile di tangga ke-23.
Mengikut rekod pertemuan dengan Belanda, Malaysia hanya menang 2-1 pada Piala Dunia edisi 1975 di Kuala Lumpur dan seri tanpa jaringan pada Sukan Olimpik Sydney 2000 manakala tidak pernah menang dalam 11 pertemuan lain.
Pada Piala Dunia edisi lepas di India pada 2018, Belanda membenam Malaysia 7-0.
Skuad 'Speedy Tigers' berjaya mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara Piala Asia pada Mei lepas.
Ia merupakan kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia, dengan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada 1975.
Sementara itu, Arul dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini, meletakkan sasaran Speedy Tigers melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke suku akhir.
Beliau, bagaimanapun, berkata anak buahnya perlu bijak mengatur strategi ketika menentang Belanda, selain menyasarkan kemenangan ke atas New Zealand dan Chile.
"Persediaan pemain adalah berdasarkan latihan selama ini serta perlawanan persahabatan di Eropah dan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022," katanya.
KUMPULAN A: Australia, Argentina, Perancis, Afrika Selatan
KUMPULAN B: Belgium (juara bertahan), Jerman, Korea Selatan, Jepun
KUMPULAN C: Belanda, New Zealand, MALAYSIA, Chile
KUMPULAN D: India, England, Sepanyol, Wales.
-- BERNAMA
#skuad hoki lelaki #Speedy Tigers #Hoki Piala Dunia #skuad Belanda
;