Hoki Piala Dunia: Shello Silverius terima hakikat terlepas kempen
Astro Arena
Disember 28, 2022 07:45 MYT
Disember 28, 2022 07:45 MYT
PENYERANG muda meningkat naik skuad hoki negara, Shello Silverius, sudah bersedia menerima hakikat diketepikan untuk ke Piala Dunia bermula 13 Januari hadapan berikutan kecederaan tangan kirinya dalam Kejohanan Piala Negara-Negara.
Shello berada di kemuncak prestasi selepas muncul antara tonggak utama The Speedy Tigers menjulang kejuaraan sulung Piala Sultan Azlan Shah dan diangkat selaku pemain terbaik kejohanan.
Sedar tempoh pemulihannya menuju hari terakhir susulan pengumuman rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengenai skuad akhir 20 pemain ke India hari ini, Shello memberi bayangan belum sempat cergas sepenuhnya berdasarkan kondisi kecederaannya itu.
"Saya berasa agak trauma memegang kayu pemukul hoki jadi saya memerlukan masa.
"Jadi latihan untuk saya ketika ini adalah membina kecergasan dan kekuatan.
"Kerisauan saya adalah mengenai pemulihan tapi luka saya sudah pun pulih.
"Sebelum ini saya sudah bersedia, sama ada terpilih atau tidak itu belakang kira.
"Yang penting saya persiapkan diri untuk pergi atau tidak.
"Saya akur dengan apa yang terjadi, ini perjalanan dalam karier hoki," katanya di Nadi Arena malam tadi.