Hoki Piala Asia: Malaysia belasah China dalam aksi pembukaan
Astro Arena
Oktober 13, 2017 08:47 MYT
Oktober 13, 2017 08:47 MYT
Skuad hoki lelaki negara, memulakan misi memburu Piala Asia dengan mencatat kemenangan besar 7-1 ke atas China dalam perlawanan pertama di peringkat Kumpulan B di Dhaka, Bangladesh.
Tidak seperti pasukan lain, Malaysia, India dan Pakistan boleh menarik nafas lega kerana telah layak ke Piala Dunia tahun depan.
Namun skuad negara tidak mengambil mudah kejohanan ini, sebaliknya mereka ingin menjuarai Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah sekaligus tonik terbaik menjelang Piala Dunia.
Itulah yang ditampilkan pasukan negara sebaik perlawanan bermula dan Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Tengku Ahmad Tajuddin.
Tersentak, China cuba bangkit, namun gagal mengawal pergerakan Malaysia dan kemudian giliran Faizal Saari pula menggandakan jaringan Malaysia pada minit ke-17.
Malaysia yang kelihatan selesa mengawal perlawanan tidak menunggu lama untuk menyumbat gol ketiga, hanya dua minit kemudian.
Sekali lagi Tengku Ahmad Tajuddin bertanggungjawab meledakkan gol.
Masuk suku ketiga, Faizal Saari meledakkan gol keempat skuad negara dan hanya beberapa minit kemudian giliran Shahril Saabah pula menyumbat gol kelima negara sekaligus tidak memberi ruang untuk China bangkit.
Gol keenam Malaysia diledakkan Faisal Saari yang juga gol hatrik peribadinya di perlawanan ini.
China memperolehi gol saguhati menerusi E Wen Hui, sebelum Ramadhan Rosli melengkapkan gol ke-7 Malaysia.