Hoki: Perlu masa tingkatkan prestasi, kata Hagwood
Bernama
Januari 17, 2015 10:58 MYT
Januari 17, 2015 10:58 MYT
Konsultan sementara skuad negara, Neil Hagwood menyifatkan skuad hoki negara adalah berbakat dan memiliki kemahiran unik tetapi perlu mengetahui cara untuk menampilkan persembahan yang konsisten.
Beliau berkata semua pihak perlu memahami bahawa beliau dan jurulatih kebangsaan Tai Beng Hai memerlukan masa untuk meningkatkan persembahan pemain.
Hagwood berkata sukar untuk beliau membuat penilaian terhadap prestasi skuad negara pada kejohanan pusingan kedua Liga Hoki Dunia bermula di Stadium Sengkang di Singapura, Sabtu, kerana baru dua kali melihat mereka berlatih di sini.
Hagwood, yang akan membantu Beng Hai pada kejohanan di Singapura, berkata ranking dunia tidak penting kerana apa yang lebih mustahak adalah persembahan konsisten untuk menentukannya.
"Perkara penting sekarang adalah membantu jurulatih dan mengguna pakai idea yang perlu untuk meningkatkan prestasi skuad negara," katanya pada sidang media di Singapura, Jumaat.
Kejohanan Liga Hoki Dunia ini adalah antara kejohanan pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Sementara itu, Beng Hai berkata sasaran utama Malaysia pada kejohanan itu adalah untuk melayakkan diri ke pusingan separuh akhir di Belgium dan Argentina Jun depan.
Pada kejohanan di Singapura, Malaysia disenaraikan dalam Kumpulan A bersama-sama dengan Ukraine, Oman, dan Singapura manakala Kumpulan B terdiri daripada Jepun, Bangladesh, Poland dan Mexico.
Tiga pasukan teratas akan mara ke peringkat separuh akhir Jun.
Malaysia akan membuka kempen dengan menentang Ukraine Sabtu, diikuti Oman pada Selasa dan Singapura pada hari berikutnya.
Beng Hai berkata pasukan Ukraine dijangka bermain dengan corak serupa seperti kebanyakan negara Eropah lain iaitu secara bertahan sebelum membalas dengan serangan pantas.