Hoki: Mirnawan dan Sri Shan bercanggah pendapat
Astro Arena
Oktober 7, 2016 17:31 MYT
Oktober 7, 2016 17:31 MYT
BEKAS kapten hoki negara, Mirnawan Nawawi, mempertahankan tindakan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menghantar skuad kebangsaan ke Liga Hoki Australia (AHL) dengan menyifatkan ia satu langkah besar walaupun gagal pada penampilan pertama.
Prestasi skuad kendalian Stephen van Huizen di AHL tidak cukup meyakinkan sehingga dikecam bekas kapten skuad Piala Dunia 1975, Datuk Sri Shanmuganathan, yang mendakwa pasukan senior tidak patut menyertai AHL, yang turut membabitkan kelab selain pasukan remaja India dan New Zealand.
Semalam, beliau mempersoalkan tindakan KHM menghantar skuad negara beraksi di Australia di samping berpendapat badan induk hoki negara itu sepatutnya menghantar pasukan berstatus kelab seperti Terengganu Hockey Team (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Namun, Mirnawan mempunyai pandangan berbeza berbanding seniornya itu.
"Kita tidak boleh melihat dari aspek menang atau kalah kerana kita perlu tahu Liga Hoki Australia adalah antara yang terbaik di dunia dan mereka memiliki pemain yang bertaraf dunia.
"Setiap daripada mereka layak mewakili Australia.
"Ini adalah persiapan untuk menghadapi Trofi Juara-Juara Asia dan juga pertandingan yang penting di masa akan datang," katanya.
Trofi Juara-Juara Asia adalah kejohanan utama dalam kalendar KHM tahun ini selepas Malaysia gagal layak ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Kejohanan itu turut menawarkan mata ranking dunia.
Di Australia, skuad kebangsaan meraih tangga keempat dalam Kumpulan A, sekali gus akan beraksi dalam penentuan tempat ke-5/8.
Dua lagi wakil negara, skuad pembangunan kendalian Wallace Tan dan skuad wanita kebangsaan turut gagal ke separuh akhir.
Skuad negara dijadual pulang ke tanah air, Isnin ini.