Hoki: Malaysia tewas 2-3 di tangan juara dunia Australia
Bernama
April 7, 2015 08:09 MYT
April 7, 2015 08:09 MYT
Malaysia mengalami kekalahan kedua pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-24, setelah tumpas 2-3 kepada Australia di Stadium Sultan Azlan Shah di sini, malam tadi.
Namun, pujian harus diberikan kepada anak buah Tan Beng Hai kerana menampilkan persembahan memberangsangkan dan mampu memberi tentangan sengit, sebelum tewas kepada juara dunia itu.
Skuad Malaysia berjaya menyerap tekanan dan serangan bertali arus pasukan Australia untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama.
Benteng pertahanan skuad negara yang diketuai Muhammad Razi Abdul Rahim bekerja keras menghalang asakan penyerang Australia termasuk lima pukulan sudut penalti lawan.
Malaysia sepatutnya berada di hadapan pada minit ke-15, namun jaringan Muhammad Ramadan Rosli dibatalkan pengadil kerana bola dikatakan terkena badan.
Bersambung babak kedua, Australia berjaya memecah kebuntuan apabila Jamie Dwyer menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-43 selepas penyerang Glenn Turner dikasari dalam kawasan D.
Dwyer terus bertindak cemerlang apabila menyumbat masuk gol kedua Australia pada minit ke-53.
Walaupun ketinggalan dua gol, ia sama sekali tidak mematahkan semangat pemain negara yang terus mengatur gerakan kemas ke arah kubu Australia.
Serangan balas pantas yang dilakukan pasukan Malaysia, akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Firhan Ashaari menjaringkan gol pertama negara pada minit ke-57.
Namun, pukulan deras Dylan Wotherspoon pada minit ke-59 berjaya menewaskan penjaga gawang negara S. Kumar buat kali ketiga.
Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil kemudian berjaya merapatkan kedudukan pada minit yang sama, namun jaringan 2-3 itu kekal sehingga wisel penamat.
Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan itu, Beng Hai berkata walaupun tewas, beliau berpuas hati dengan prestasi skuad negara malam ini.
Malaysia yang tumpas 2-4 kepada New Zealand pada aksi pertama semalam, akan berdepan India pada Rabu ini.
"Saya berharap kesemua pemain dapat mempamerkan persembahan yang lebih bagus apabila menentang India pada Rabu ini," kata Beng Hai.
Sementara itu, pada perlawanan yang berlangsung di venue sama petang tadi, Korea Selatan meraih kemenangan pertama apabila mengalahkan Kanada 3-1, manakala New Zealand menewaskan India 2-1.
Hari ini adalah hari rehat dan kejohanan itu akan bersambung Rabu ini.