Hoki: Malaysia bakal turun tanpa Faizal

Bernama
Oktober 28, 2016 15:17 MYT
Pemain Malaysia Faizal Saari (kanan) dikasari pemain Korea Selatan, Yeab Kim Sung pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Stadium Hoki Kuantan, semalam. -- fotoBERNAMA
Skuad negara bakal kehilangan khidmat penyerang, Faizal Saari dalam aksi penting menentang Pakistan di separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Juara-Juara Asia 2016 di Stadium Hoki Kuantan, di sini esok.
Ini berikutan pemain berusia 25 tahun itu mungkin memilih untuk bersama isterinya yang dijangka bersalin pada bila-bila masa sahaja.
Jurulatih negara, Stephen Van Huizen berkata skuad itu menyedari situasi yang sedang dihadapi dan bersedia andainya Faizal mahu berada di sisi isterinya.
"Kami tidak boleh kawal sesetengah perkara tapi kami tetap bersedia. Kami sedar isterinya akan menjadi keutamaan dalam keadaan ini tetapi kami berharap dia akan bersama skuad ini sehingga tamat kejohanan.
"Saya percaya Faizal juga mahu berbuat demikian jika boleh," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Stephen tidak mahu pemainnya memandang mudah cabaran Pakistan yang mereka tewaskan 4-2 dalam aksi pertama kejohanan ini, kerana kedua-dua pasukan mempunyai misi penting mencari tiket ke final.
"Pakistan sentiasa menjadi lawan yang perlu diberi perhatian. Walaupun kita menang perlawanan pertama sehingga menduduki tangga kedua dalam saingan awal, perlawanan esok sudah memasuki peringkat baharu...kemenangan lepas tidak lagi penting.
"Siapa yang bermain lebih baik esok, mampu membuat keputusan tepat, mengambil peluang dan bertahan dengan baik, pasti akan mempunyai kelebihan," katanya.
Stephen juga berkata pemainnya telah bersedia dan akan menjalani latihan tambahan pukulan penalti sebagai persediaan menentang Pakistan.
Bagi ketua pasukan Shukri Mutalib, pemain negara perlu berhati-hati dengan pukulan sudut penalti dan penyudah yang menjadi kelebihan kepada Pakistan.
Menurutnya walaupun Malaysia menewaskan Pakistan dalam perlawanan pembukaan, lawan itu menunjukkan mereka bermain semakin baik pada setiap perlawanan.
"Pertemuan dengan Pakistan tidak boleh dibandingkan dengan aksi sebelum ini. Kami banyak menganalisa perlawanan dan mendapati Pakistan menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan mereka.
Sementara itu, jurulatih Pakistan, Muhammad Khawaja Junaid menjanjikan saingan sengit kepada tuan rumah dan pemainnya mahu memastikan tiket ke final menjadi milik mereka.
"Kami akan berhati-hati dengan taktik dan skil individu ketika menentang Malaysia. Kedua-dua pasukan memiliki kelebihan dalam pukulan sudut penalti tetapi apa yang penting adalah penyudah. Kami mempunyai banyak peluang dalam aksi sebelum ini, tetapi gagal menyempurnakannya.
"Namun setiap perlawanan adalah berbeza dan saya percaya kedua-dua pasukan akan memberikan yang terbaik," katanya. -- BERNAMA
#Faizal Saari #hoki #Pakistan #Piala Juara-Juara Asia 2016 #stephen van huizen
;