Hoki Liga Dunia: Malaysia tewas 0-4 kepada Jepun

Bernama
Februari 24, 2013 12:39 MYT
Skuad hoki wanita negara gagal mara ke separuh akhir kejohanan Liga Dunia apabila kalah 0-4 kepada Jepun di pusingan kedua di Major Dhyan Chand National Stadium di sini hari ini.
"Kami bermain baik sehingga minit ke-25 tetapi terdapat kesilapan yang memberi gol pertama kepada Jepun di separuh masa pertama," kata jurulatih Malaysia, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim.
Di separuh masa kedua, kebanyakan pemain pilihan utama tercedera dan pasukan Malaysia terpaksa bergantung kepada pemain kurang pengalaman, katanya kepada Bernama selepas perlawanan.
Jepun menjaring tiga lagi gol di separuh masa kedua.
Ditanya sebab pasukan Malaysia lebih banyak bertahan, beliau berkata: "Kami perlu realistik. Pemain Jepun terlalu kuat buat kami. Jika kami membiarkan padang terlalu terbuka, mereka akan menjaring lebih banyak gol".
Namun Mohd Nasihin Nubli gembira dengan prestasi pasukannya kerana memperoleh keputusan yang dianggapnya masih baik.
"0-4 ialah keputusan yang baik. Kami kalah 0-8 kepada Jepun sebelum ini. Jadi terdapat peningkatan sementara kejohanan ini memberi pengalaman baik untuk pemain Malaysia membina kekuatan mereka," katanya.
#Major Dhyan Chand National Stadium #Mohd Nasihin Nubli #Skuad hoki wanita negara