Hoki: Disiplin tinggi kunci kejayaan tundukkan New Zealand - Kapten

Bernama
November 22, 2018 04:30 MYT
MOHAMAD SUKRI: Kita lebih berdisiplin terutama dalam cara kita bertahan dan itu membezakan dua perlawanan awal dan perlawanan pada Khamis. - BERNAMA/Fail
Ketua pasukan skuad hoki lelaki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib berpuas hati dengan persembahan bertenaga ditampilkan rakan sepasukan, sekali gus membolehkan mereka mencatat kemenangan 4-2 ke atas New Zealand di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Khamis.
Beliau berkata disiplin tinggi dipamerkan barisan pemain kebangsaan terutama ketika bertahan adalah kunci kejayaan menumbangkan pasukan di ranking kesembilan dunia itu, selepas tewas dua kali dalam perlawanan sebelum ini.
"Kalau dilihat, kita lebih berdisiplin terutama dalam cara kita bertahan dan itu membezakan dua perlawanan awal dan perlawanan hari ini (Khamis).
"Jurulatih tidak membuat sebarang perubahan dari segi taktikal tetapi ada penambahbaikan dari segi bertahan yang membantu kami dan memberi kelebihan pada hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.
Pada aksi itu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebelum jaringan gol padang Faizal Saari dan Nik Aiman Nik Rozemi, masing-masing pada minit ke-49 dan ke-56 memastikan Malaysia meraih kemenangan penting menjelang Piala Dunia 2018 di India, bermula minggu depan.
Terdahulu, Malaysia yang dibimbing ketua jurulatih Roelant Oltman membuka jaringan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim sebelum Kane Russell menyamakan kedudukan lapan minit kemudian melalui pukulan sudut penalti.
Penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil meletakkan Malaysia kembali di hadapan pada minit ke-26 menerusi jaringan padang, namun 'The Black Sticks' sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-46 hasil jaringan padang George Muir.
Dalam pada itu, Mohd Sukri turut menyatakan rata-rata pemain sudah bersedia untuk memulakan kempen Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung dari 28 Nov hingga 16 Dis.
Malaysia dijangka berdepan tugas sukar setelah diundi dalam Kumpulan D bersama-sama tiga bekas juara dunia - Pakistan, Belanda dan Jerman. -- Bernama
#hoki #Mohamad Sukri Abdul Mutalib
;